Kulai: Penyelia kilang yang juga warga emas berputih mata apabila mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham yang tidak wujud sehingga menyebabkan dia kerugian lebih RM600,000.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun itu, semalam.
Beliau berkata, pengadu mendakwa dirinya mengalami kerugian berjumlah RM668,800 akibat ditipu sindiket yang menawarkan pelaburan saham tidak wujud.
"Pengadu berminat membuat pelaburan yang menjanjikan keuntungan antara 10 peratus hingga 20 peratus dalam tempoh 24 jam.
"Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam aplikasi milik pengadu.
"Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, pengadu kemudian membuat 25 transaksi pembayaran berjumlah RM668,800 ke dalam 17 akaun bank tempatan bermula 28 November 2025 hingga 6 Januari lalu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pengadu kemudian membuat semakan pada akaun miliknya itu dan mendapati keuntungan yang diperoleh adalah sebanyak AS$102,303.64.
Bagaimanapun, pengadu mendakwa apabila mahu membuat pengeluaran wang, akaun itu disekat.
"Pengadu mengesyaki dirinya ditipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu pelaburan tidak wujud," katanya.
|