AB Rahaman (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada seorang pegawai polis sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru. FOTO Azizi Majid
Johor Bahru: Kertas siasatan lelaki warga China yang ditahan bagi membantu siasatan kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di kawasan Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City dekat Kulai Ahad lalu sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pihaknya bagaimanapun masih menunggu arahan daripada TPR untuk tindakan selanjutnya sama ada mendakwa suspek atau sebaliknya.
Ditanya tindakan terhadap majikan suspek yang bekerja di sebuah kilang itu, beliau berkata ia masih dalam siasatan dan pihaknya akan merujuk kepada TPR
"Reman suspek berusia 38 tahun itu selama tiga hari sepatutnya berakhir hari ini namun ia masih diteruskan di bawah Akta Imigresen," katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan polis menahan suspek selepas mengesan video yang tular dalam media sosial itu memaparkan bendera Malaysia dipasang secara terbalik di premis berkenaan.
Sumber : harian metro
|