Pemandu kereta Volkswagen Jetta bernombor pendaftaran Singapura, Long Sa Kow, 64 mengaku bersalah atas pertuduhan mengisi petrol RON95 dua minggu lalu, didenda RM9,000 di Mahkamah Majistret. FOTO NAJMI NOR’AZAM
Kulai: Pemandu kereta Volkswagen Jetta bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan mengisi petrol RON95, dua minggu lalu, didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan itu.
Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret R Salini.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara sembilan bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura itu didakwa sebagai pemandu kereta Volkswagen Jetta berwarna perak didakwa mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan itu.
Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam di sini, jam 10.30 malam, 2 Januari lalu itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli yang mewakili OKS memohon hukuman denda yang minimum memandangkan lelaki itu seorang pesara dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
"OKS menanggung seorang isteri yang juga suri rumah serta tiga anak yang mana dua daripadanya masih belajar dan sekolah.
"Ini kesalahan kali pertamanya dan OKS berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya ini dan akan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Kerajaan Malaysia," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.
"Hukuman bukan hanya supaya OKS tidak mengulangi perbuatan ini, tetapi sebagai pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan yang sama.
"Mahkamah boleh meneliti niat OKS yang mengubah dan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaannya untuk menikmati hak rakyat Malaysia dan kenderaan tempatan," katanya.
Berdasarkan fakta kes, pada 4 Januari lalu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mengesan video di Facebook (FB) yang memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.
Difahamkan, hasil siasatan mendapati, OKS sebagai pemandu kenderaan yang sepatutnya bernombor pendaftaran Singapura namun menutup huruf awal dan akhirnya bagi mengisi minyak subsidi RON95.
Hasil pemeriksaan pada nombor enjin dan nombor chasis kenderaan berkenaan adalah milik kenderaan bernombor pendaftaran lain.
Pada 3 Januari lalu, tular video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan pemandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.
Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.
Polis yang kemudian memburu pemandu kereta berkenaan berjaya mengesannya di Singapura dan mengarahkannya hadir ke IPD Kulai bagi membantu siasatan.
|