Sungai Petani: Seorang lelaki disyaki mengalami masalah mental bertindak agresif dan mengamuk di sebuah kawasan perumahan di Taman Ria, di sini, pagi tadi sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk.
Dalam kejadian pagi tadi, lelaki terbabit dikatakan bertindak di luar kawalan dengan memegang objek dipercayai senjata serta merosakkan harta benda awam dan persendirian.
Kejadian itu turut ditular di media sosial yang menunjukkan suspek menjerit di tengah jalan selain berkelakuan agresif, menyebabkan penduduk bertempiaran lari bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Seorang saksi menggesa pihak berkuasa supaya segera campur tangan kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Penduduk turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian dan sentiasa berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk.
Rakaman video itu turut menunjukkan lelaki itu meninggalkan lokasi kejadian melalui lorong kecil berhampiran.
Penduduk setempat memaklumkan, ia bukan kejadian kali pertama malah pernah bertindak agresif namun tidak menyebabkan kerosakan serius.
Bagaimanapun, kejadian kali ini disifatkan lebih serius berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan insiden berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.