
Abang Johari (berdiri, tengah) berkesempatan merakam kenangan bersama pelajar yang hadir sesi Townhall bersama beliau di sini, malam tadi. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Semua inisiatif kerajaan negeri, termasuk penerbangan Sarawak sendiri dan hospital kanser, adalah untuk kepentingan rakyat, bukannya keuntungan komersial.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai contoh syarikat penerbangan Sarawak, iaitu Air Borneo ia ditubuhkan dengan konsep yang berlaian yang memberi keutamaan kepada manfaat rakyat.
“Penerbangan Sarawak sendiri berbeza daripada syarikat sedia ada. Kita hidup di pulau, maka orang datang dengan kapal atau kapal terbang, mereka tidak akan berenang. Ekonomi pulau mesti dihubungkan dengan ekonomi luar.
“Kita akan memastikan tambang stabil supaya rakyat mendapat manfaat, bukannya semata-mata keuntungan syarikat,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian pada sesi Townhall 9 Tahun Bersama Premier malam tadi, menjawab soalan mengenai strategi meningkatkan pelancongan, perdagangan dan kedudukan Sarawak di peringkat ASEAN serta antarabangsa.
Premier Sarawak dalam sesi yang sama turut menekankan kepentingan menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti bagi rakyat, terutamanya bagi pesakit kanser.
Beliau berkata, ketika ini Sarawak masih tiada hospital khusus untuk rawatan kanser, dan pesakit terpaksa ke Kuala Lumpur.
Situasi ini membebankan keluarga, dari segi kos penerbangan dan penginapan, malah risiko terhadap nyawa pesakit juga meningkat.
“Bayangkan, seluruh keluarga terpaksa ikut. Kos penerbangan dan perbelanjaan lain ditanggung rakyat.
“Malah, ada pesakit yang meninggal sebelum mendapat rawatan kerana kekurangan fasiliti di Sarawak. Untuk kebaikan rakyat, kita harus bertindak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa segala inisiatif untuk memperbaiki perkhidmatan kesihatan dan pembangunan di Sarawak bukan sahaja untuk negeri itu, tetapi juga untuk kepentingan Malaysia secara keseluruhan.
Selain itu, beliau menegaskan isu jurang pembangunan bandar-luar bandar, menekankan walaupun bandar berkembang pesat, kawasan luar bandar masih memerlukan perhatian untuk pembangunan seimbang.
“Segala usaha untuk Sarawak pada akhirnya adalah untuk Malaysia,” tambah beliau, merujuk juga kepada kerjasama negeri-persekutuan dalam acara antarabangsa seperti Sukan SEA.
Sumber : Utusan Borneo
|