
Anggota APM sedang melakukan pemantauan di terminal penumpang bot ekspres Kapit.
KAPIT: Paras air di beberapa sungai utama di daerah Kapit dan Song dilaporkan masih berada dalam keadaan terkawal setakat pemantauan awal pagi Rabu, meskipun hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan perubahan trend paras air di beberapa lokasi berisiko.
Di Daerah Song, pemantauan di Terminal Bot Ekspres Song merekodkan paras air Sungai Rajang pada bacaan 8.1 meter dengan trend menaik, namun masih berada di bawah paras bahaya dan dalam keadaan terkawal.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kapit, Kapten (PA) Frankie John Jawan berkata, peningkatan paras air berkenaan dipantau secara berterusan susulan hujan setempat serta aliran air dari kawasan hulu sungai.
“Walaupun trend paras air Sungai Rajang di Song menunjukkan peningkatan, situasi setakat ini masih terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, setakat ini tiada keperluan untuk melaksanakan sebarang pemindahan penduduk dan pihak berkuasa terus mempertingkatkan pemantauan di lokasi berisiko.
Selain Sungai Rajang, pemantauan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Daerah Song turut mendapati paras air Sungai Katibas dan Sungai Chapi masih berada pada paras normal, namun menunjukkan trend menaik.
“Paras air di kedua-dua sungai tersebut masih belum melepasi paras amaran dan tidak menjejaskan kawasan penempatan berhampiran,” katanya.
Sementara itu, di Daerah Kapit, pemantauan yang dijalankan selepas tengah malam mendapati paras air beberapa sungai utama menunjukkan trend penurunan.
Frankie berkata, pemantauan di Terminal Penumpang Bot Ekspres Kapit merekodkan paras air Sungai Rajang pada bacaan 10.1 meter dengan trend menurun hasil pemantauan sekitar jam 1.11 pagi.
Tambah beliau, paras air Sungai Sesibau juga dilaporkan menurun dan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang ancaman banjir kepada kawasan kediaman berhampiran.
Menurutnya, perbezaan trend paras air Sungai Rajang antara Song dan Kapit adalah selari dengan perbezaan taburan hujan setempat serta pergerakan aliran air dari kawasan hulu sungai.
“Keadaan ini adalah perkara biasa dan bergantung kepada intensiti hujan serta aliran air semasa di kawasan hulu,” jelasnya.
Setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di kedua-dua daerah dan situasi keseluruhan dilaporkan masih terkawal tanpa sebarang insiden kecemasan.
Dalam pada itu, penduduk yang tinggal di sepanjang sungai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, memantau maklumat rasmi daripada pihak berkuasa serta bersedia mengambil langkah awal sekiranya berlaku peningkatan mendadak paras air susulan hujan berterusan.
Sumber : Utusan Borneo
|