CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 38|Reply: 0

[Sarawak] Pentadbiran negara dan negeri perlu diurus secara profesional: Premier

[Copy link]
Post time 14-1-2026 01:54 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari semasa sesi Townhall 9 Tahun bersama Premier di Kuching, malam tadi. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Pentadbiran negara dan negeri perlu diurus secara profesional seperti dalam dunia sukan dan korporat di mana prestasi menjadi ukuran utama.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan berasaskan prestasi itu merupakan kaedah yang mampan dan wajar dijadikan asas dalam tadbir urus negara bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta keyakinan rakyat.

“Ia adalah satu pendekatan yang mampan. Beginilah sepatutnya sesebuah negara ditadbir.

“Jika Perdana Menteri atau Premier tidak lagi mampu menunjukkan prestasi yang baik, itu adalah petanda bahawa sudah tiba masanya untuk berundur.

“Tidak perlu menunggu sehingga dua atau tiga penggal. Seorang pemimpin perlu tahu menilai keupayaan dirinya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall 9 Tahun Bersama Premier di sini, malam tadi.

Abang Johari menegaskan bahawa kepimpinan yang berkesan perlu berasaskan keupayaan untuk memberi hasil, bukannya semata-mata tempoh memegang jawatan.

Beliau menjelaskan bahawa faktor usia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk terus menyumbang kepada pembangunan, namun kepimpinan aktif perlu dirancang secara realistik dan berfasa.

“Dalam kehidupan, ada had kepada tempoh seseorang boleh memegang peranan kepimpinan secara aktif.

“Walaupun seseorang masih boleh aktif sehingga usia 70, 75 atau 80 tahun, akan tiba masanya kita perlu memberi ruang kepada golongan muda,” katanya.

Menurut beliau, apabila tiba masa tersebut, pemimpin yang lebih berusia wajar beralih peranan sebagai penasihat, manakala kepimpinan diteruskan oleh generasi baharu.

Katanya kini, semakin ramai dalam kalangan generasi masa kini yang mula memahami dasar dan hala tuju pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Insya-Allah, Sarawak akan terus maju bersama generasi baharu yang mempunyai wawasan dan pandangan jauh, serta keupayaan untuk melihat cabaran dan peluang masa depan,” katanya.

Menurut Abang Johari, peralihan kepimpinan yang terancang, berinstitusi dan berteraskan prestasi adalah penting bagi menjamin kemampanan pembangunan Sarawak dan negara secara keseluruhan.

Sebelum ini Ahli Dewan Negara Senator Abui Sui Anyit berpendapat langkah Kerajaan Persekutuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun wajar diperluaskan kepada jawatan Premier Sarawak serta ketua kerajaan negeri yang lain.

Beliau mencadangkan agar pembaharuan tersebut dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan Negeri masing-masing selaras dengan kuasa serta bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 08:54 PM GMT+8 , Processed in 0.045791 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list