CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 40|Reply: 0

[Pulau Pinang] Minta, terima rasuah RM150,000: 6 pegawai, anggota polis termasuk pesara direman 5 hari

[Copy link]
Post time 14-1-2026 12:33 PM | Show all posts |Read mode
Minta, terima rasuah RM150,000: 6 pegawai, anggota polis termasuk pesara direman 5 hari

Siti Aminah Mohd Yusof[email protected]





Enam individu terdiri daripada empat pegawai, seorang anggota dan seorang pesara polis dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk mendapatkan kebenaran reman bagi membantu siasatan kes rasuah. FOTO AMINAH YUSOF




Georgetown: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan enam lagi individu terdiri daripada empat pegawai, seorang anggota dan pesara polis susulan siasatan berkaitan dakwaan rasuah untuk melindungi aktiviti perniagaan melanggar undang-undang berjumlah kira-kira RM150,000.

Majistret Shyahirah Abdul Salim membenarkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 18 Januari depan selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut sumber, kesemua individu berusia 40-an hingga 60-an terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 11 pagi hingga 5 petang semalam.

"Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan, pusat urut dan judi haram yang melakukan kesalahan undang-undang.

"Berdasarkan siasatan awal, kesemua mereka dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2016 hingga 2021 dengan menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 setiap bulan," katanya.

Difahamkan, suspek menerima wang rasuah berkenaan melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun pihak ketiga daripada pemilik syarikat pinjaman wang berlesen dan perkhidmatan kesihatan manusia untuk menyembunyikan dari sumber mana aliran wang tersebut diterima.

Terdahulu suspek terdiri daripada empat pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP), seorang anggota berpangkat Sarjan dan seorang lagi pesara polis dengan pangkat terakhir sebagai Sarjan tiba di pekarangan mahkamah dalam keadaan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM kira-kira jam 9 pagi.

Peguam K Mahendaran mewakili suspek berpangkat ASP berumur 46 tahun manakala A Mahesh mewakili seorang lagi pegawai ASP berumur 45 tahun sementara empat yang lain diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua individu terbabit dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah suspek yang ditahan setakat ini seramai tujuh orang selepas semalam seorang pegawai polis berpangkat ASP yang ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM27,000.



Disiarkan pada: Januari 14, 2026 @ 11:44am

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1310674/minta-terima-rasuah-rm150000-6-pegawai-anggota-polis-termasuk-pesara




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 08:55 PM GMT+8 , Processed in 0.041220 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list