CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 46|Reply: 0

[Pulau Pinang] 41 rangka manusia prasejarah Guar Kepah diserah kepada Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 13-1-2026 07:26 PM | Show all posts |Read mode
41 rangka manusia prasejarah Guar Kepah diserah kepada Pulau Pinang

13 Januari 2026 03:31pm





Laporan Sinar Harian berhubung koleksi rangka tersebut yang sebelum ini disimpan di Jabatan Warisan Negara selepas dibawa pulang dari Belanda pada tahun lalu.




GEORGE TOWN - Khazanah warisan negara, Koleksi Rangka Guar Kepah termasuk kotak asal penyimpanan yang dibawa pulang dari Belanda pada 30 Ogos tahun lepas, akhirnya diserahkan secara rasmi kepada Pulau Pinang bagi penempatan dan pemuliharaan.


Detik itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan negeri Pulau Pinang di Komtar pada Selasa.

MoU berkenaan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Zulkifli Long bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Mohamed Abdul Rahman mewakili Kerajaan negeri Pulau Pinang, manakala kerajaan Persekutuan diwakili Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Muhamad Muda Bahadin serta timbalannya Ruzairy Arbi.


Pemeteraian itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Zulkifli berkata, kerjasama erat antara MOTAC, Jabatan Warisan Negara Kedutaan Besar Malaysia di Belanda, kerajaan Belanda dan agensi lain berkaitan telah berjaya membawa pulang 41 bahagian rangka manusia yang sebelum ini tersimpan di Collection Centre Netherlands (CCNL) Amersfoort, Belanda.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan langkah penting dalam usaha pemuliharaan Tapak Arkeologi Guar Kepah yang diiktiraf antara tapak prasejarah terpenting di negara ini, selain mencerminkan komitmen erat antara Pulau Pinang dengan Persekutuan untuk memelihara warisan arkeologi negara untuk manfaat generasi akan datang.

"Penempatan koleksi rangka ini akan dilaksanakan di Galeri Arkeologi Guar Kepah yang telah siap dilengkapi dengan kemudahan konservasi dan penyimpanan mengikut piawaian pemuliharaan warisan yang direalisasikan dengan sokongan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA).

"Galeri yang akan dibuka kepada umum pada suku pertama tahun ini dengan mengambil kira fasa pemindahan rangka dan artifak berkenaan, akan memberi impak positif bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga ahli akademik, penyelidik serta industri pelancongan,” katanya.


Zulkifli berkata, rangka yang diserahkan hari ini (Selasa) akan ditempatkan sementara di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tujuan penyelidikan dan konservasi sebelum dipamerkan di Galeri Arkeologi Guar Kepah.

Rangka Guar Kepah ialah khazanah arkeologi amat bernilai kerana ia memberikan gambaran penting tentang kehidupan masyarakat prasejarah di rantau ini.

Justeru, beliau berharap pemeteraian MoU akan dapat memperkukuh lagi kerjasama antara Kerajaan negeri Pulau Pinang, kerajaan Persekutuan serta institusi akademik bagi memastikan penyelidikan, konservasi dan pemuliharaan koleksi itu dilaksanakan secara profesional serta berterusan.


Sementara itu, Shaharuddin berkata, Galeri Arkeologi Guar Kepah diyakini berpotensi menjadi produk arkeopelancongan utama negara dengan kembalinya koleksi rangka berkenaan ke lokasi asal ia diekskavasi lebih lapan dekad lepas.

Terletak di Penaga Seberang Perai Utara (SPU), pembukaan Galeri Arkeologi Guar Kepah dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Januari ini. - Bernama

https://www.sinarharian.com.my/article/763863/berita/semasa/41-rangka-manusia-prasejarah-guar-kepah-diserah-kepada-pulau-pinang


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 08:54 PM GMT+8 , Processed in 0.194519 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list