Sungai Petani: Media Prima Berhad (MPB) menerusi Tabung Bencana NSTP–Media Prima menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM125,130 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah bagi diagihkan ketika musim banjir.
Sumbangan itu diserahkan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM di sini dan disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan diserahkan kepada Pengarah JKM Kedah, Zakaria Taib.
Pengurus Besar Kumpulan, Pejabat Pengerusi Kumpulan dan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz berkata, Kedah adalah negeri keempat menerima sumbangan selepas Kelantan, Terengganu dan Perlis hasil kutipan orang ramai melalui Tabung Bencana NSTP–Media Prima.
Katanya, barangan keperluan asas yang disumbangkan itu akan disimpan di depoh JKM Kedah dan digunakan sekiranya berlaku bencana khususnya banjir, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada mangsa terjejas.
"Jumlah sumbangan kira-kira RM125,000 ini adalah hasil keprihatinan rakyat Malaysia yang menyumbang untuk membantu mangsa bencana.
"Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan tugas rakan di JKM dalam menguruskan keperluan asas mangsa," katanya ketika ditemui selepas penyerahan barangan berkenaan.
Azlan berkata, Media Prima komited memperluaskan bantuan ke negeri lain yang terjejas banjir dan Perak dijangka menjadi destinasi seterusnya dalam misi kemanusiaan berkenaan.
"Setiap kali berlaku bencana, kerjasama antara Media Prima dan JKM amat erat bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Insya-Allah, kerjasama ini akan diteruskan," katanya.
Banjir yang melanda utara tanah air sebelum ini menjejaskan ribuan penduduk, termasuk 4,543 mangsa daripada 1,148 keluarga di beberapa daerah di Kedah seperti Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar.
Sementara itu, Zakaria berkata, Kedah antara negeri yang kerap berdepan bencana alam dan pada tahun 2025 sahaja, lebih 20,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, sumbangan barangan keperluan asas seperti itu amat penting bagi menampung keperluan mangsa bencana selain membantu menambah stok simpanan di depoh JKM.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Media Prima atas keprihatinan dan inisiatif ini.
"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban serta memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara," katanya.