
SELANGAU: Beberapa sekolah di daerah Selangau yang sebelum ini terjejas akibat bencana banjir telah kembali beroperasi seperti biasa semalam susulan penurunan paras air di kebanyakan kawasan terlibat.
Pegawai Daerah Selangau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Selangau Yalin Asan (gambar) berkata, lima sekolah telah disahkan pulih sepenuhnya dan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Selangau, SK Sungai Anak, SK Kuala Peluru, SK Sungai Buloh serta SK Ulu Sungai Arip.
Katanya, keadaan di sekolah-sekolah berkenaan didapati selamat selepas paras air banjir surut dan laluan akses ke kawasan sekolah kembali dapat dilalui.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan tiga lagi sekolah masih terjejas akibat banjir dan belum dapat beroperasi setakat ini iaitu SK Nanga Tajam, SK Kuala Lemai serta SK St Mark yang masih dinaiki air dan terus berada dalam pemantauan pihak berkuasa.
“Sekolah yang telah pulih beroperasi seperti biasa hari ini manakala sekolah yang masih terjejas akan terus dipantau sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, situasi banjir di Selangau secara keseluruhan dilaporkan semakin baik apabila kebanyakan kawasan titik panas mencatatkan penurunan paras air.
Beliau berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bukit Arip telah ditutup sepenuhnya semalam selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Menurutnya, penutupan PPS tersebut dibuat selepas pihak berkuasa mengesahkan keadaan di kawasan terjejas kembali selamat dan terkawal.
Namun demikian, hujan lebat masih dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Selangau dan berpotensi menjejaskan situasi semasa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar terus berwaspada, memantau keadaan cuaca serta mematuhi sebarang arahan dan makluman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sumber : Utusan Borneo
|