|
|
Bangkok: Keluarga Chearavanont dari Thailand, yang berada di sebalik gergasi agribisnes Charoen Pokphand (CP) Group, kini memiliki kekayaan dianggarkan bernilai AS$53.3 bilion (kira-kira RM215.6 bilion), menurut laporan VN Express International.
Menurut senarai Bloomberg 2025, keluarga ini satu-satunya dari Asia Tenggara dalam kalangan 25 keluarga terkaya dunia tahun ini.
CP Group adalah salah satu konglomerat terbesar Thailand dan tersenarai antara pengeluar makanan haiwan dan ternakan terkemuka dunia.
Operasinya merangkumi lapan sektor perniagaan termasuk e-dagang, kewangan dan telekomunikasi, dengan aktiviti syarikatnya dijalankan di 23 negara serta ekonomi.
Kumpulan ini bermula pada 1920-an apabila Chia Ek Chor dan abangnya membuka kedai kecil di Bangkok untuk menjual benih diimport daripada perniagaan keluarga di China.
Nama semasa syarikat, yang bermaksud 'kemakmuran untuk pengguna', diterima pakai pada 1946.
Dalam pada itu, anak bongsu Chia dan kini ketua keluarga, Dhanin Chearavanont, mengambil alih pada 1970 dan mengembangkan perniagaan menjadi konglomerat besar.
Beliau bersara pada 2017 selepas hampir lima dekad memimpin tetapi terus berkhidmat sebagai pengerusi kanan.
Anak sulungnya pula, Soopakij, kini mengetuai konglomerat itu, manakala anak bongsu, Suphachai, menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu.
Difahamkan, generasi keempat juga terbabit dalam perniagaan, termasuk Korawad Chearavanont yang menubuhkan syarikat kecerdasan buatan (AI) Amity dan Tanit Chearavanont yang mengawasi pengembangan antarabangsa CP Axtra.
CP Axtra menjana kira-kira AS$15 bilion (kira-kira RM60.7 bilion) daripada jualan barangan runcit di sembilan negara, tahun lalu.
Unit telekomunikasi CP, True, bergabung dengan Total Access Communications pada 2023 dan kini menjadi pengendali mudah alih terbesar Thailand dengan hampir 49 juta pelanggan.
Cabang fintech CP, Ascend Money, menerima kelulusan menubuhkan bank maya untuk mengembangkan platform pembayaran digital TrueMoney, kini berkhidmat kepada lebih 50 juta pelanggan di Asia Tenggara.
Keluarga Chearavanont mula tersenarai dalam Bloomberg tahun lepas dengan kekayaan AS$44.1 bilion (kira-kira RM178.4 bilion), meningkat hampir 21 peratus sejak itu, manakala keluarga Hartono dari Indonesia yang turut tersenarai tahun lepas kini terkeluar daripada senarai 25 keluarga terkaya berkenaan.
Sumber: Kosmo |
|