|
|
Kuala Lumpur: Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa menyatakan usaha merujuk kes Titah Adendum ke mahkamah adalah jalan terakhir bapanya selepas usaha mendapatkan pengesahan dari pelbagai pihak tidak diterimanya.
Beliau berkata, ia bukanlah pilihan utama bapanya dengan membawa perkara ini ke mahkamah, sebaliknya mahu menyelesaikannya secara tertutup, melalui cara diplomatik, tanpa perhatian umum.
"Beliau (Najib) memahami sensitiviti isu ini dan tidak mahu meletakkan mana-mana pihak dalam keadaan sukar, termasuk kerajaan.
"Namun, selepas tiga bulan berusaha mendapatkan maklumat dan menulis kepada kementerian serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO), beliau tidak berjaya memperoleh jawapan diperlukan. Surat-surat beliau tidak mendapat sebarang maklum balas," katanya di Facebook.
Beliau berkata, pada tahap ini sekalipun, bapanya masih keberatan untuk membawanya ke mahkamah kerana sedar apabila ia didedahkan kepada umum, sensitiviti akan timbul memandangkan sudah wujud cubaan untuk menyembunyikan kebenaran.
"Sejauh mana pihak-pihak yang tidak mahu adendum terbabit didedahkan akan bertindak bagi memastikan hak Najib tidak diberikan dan dalam proses itu, mencabar tonggak-tonggak asas negara kita?
"Ia adalah satu proses panjang (hampir dua tahun) dan berlarutan, penangguhan, pengurusan kes, permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman serta proses rayuan. Semuanya hanya untuk diberitahu oleh mahkamah bahawa adendum diraja itu wujud tetapi tidak sah," katanya.
Nooryana berkata, sekiranya pihak berkuasa membalas surat Najib pada Januari atau Februari 2024 menyatakan, menerima satu titah diraja tetapi tidak percaya ia boleh dikuatkuasakan atas sebab tertentu, ia sudah tentu dapat menjimatkan masa serta kos terpaksa ditanggung untuk merujuk perkara ini ke mahkamah.
"Saya juga sangat percaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak akan mengeluarkan titah baginda tanpa nasihat Peguam Negara. Tambahan pula, adendum itu ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu.
"Jika tindakan Agong tidak selaras dengan undang-undang atau perlembagaan, sudah pasti sebagai Peguam Negara, anda akan menasihati baginda sebaliknya dan mencari alternatif lain," katanya.
Katanya, kes ini sudah menunjukkan apabila tiada pihak yang mengambil tanggungjawab atas tindakan mereka, maka pelbagai komplikasi akan timbul, memaksa emosi akan memuncak dan kekecewaan yang terpendam akan meletup.
"Mengawalnya dengan hanya meminta ketenangan dan kesabaran tidak akan meredakan keadaan. Datuk Seri Najib sentiasa berpegang teguh untuk menghadapi segala cabaran secara berprinsip. Beliau menganggap pilihan untuk melarikan diri daripada apa yang beliau ketahui sebagai penganiayaan politik adalah satu tindakan pengecut.
"Oleh itu, beliau tekad untuk memastikan namanya dibersihkan daripada sebarang salah laku. Saya yakin biarpun beliau amat kecewa, beliau akan terus berjuang dengan sepenuh kudratnya demi menegakkan keadilan.
"Sebagai seorang anak, apa yang mampu saya doakan beliau dikurniakan kesihatan yang baik pada usia 72 tahun ini, supaya dapat menghadapi segala cabaran dengan fikiran jernih dan hati yang tabah," katanya.
Sumber: - Harian Metro |
|