|
|
Rawang: Seorang wanita warga Pakistan trauma apabila dilarikan dan dirogol lelaki menyamar pegawai imigresen di Bandar Country Homes, di sini, minggu lalu.
Mangsa kemudian dihantar suspek ke tepi jalan di sekitar kawasan terbabit sebelum dia tampil membuat laporan polis Khamis lalu.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, dalam kejadian jam 3.45 petang, mangsa mendakwa didatangi sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan ketika dia sedang berjalan kaki.
"Suspek kemudian keluar dari kenderaan itu sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen dan mengarahkannya masuk ke dalam kereta.
"Mangsa pada mulanya enggan namun diugut suspek menyebabkan dia yang ketakutan terus masuk ke dalam kereta," katanya.
Sumber berkata, ketika berada di dalam kereta, suspek meminta mangsa menyerahkan wang tunai RM6,000 dan diugut akan dipenjara namun mangsa memberitahu tidak mempunyai wang sebanyak itu.
"Suspek kemudian membawa mangsa ke lokasi tidak diketahui sebelum dia dirogol. Suspek kemudian menghantar semula mangsa di tempat awal mereka bertemu sebelum dia melarikan diri," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Setakat ini belum ada tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber : HARIAN METRO |
|