Aaron-Wooi Yik kecundang, badminton hanya bawa pulang satu emas
Oleh K M Boopathy - Disember 14, 2025 @ 6:27pm

Aaron-Wooi Yik tewas dalam aksi final beregu lelaki, hari ini. Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara terpaksa berpuas hati membawa pulang hanya satu pingat emas dari Bangkok selepas gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik kecundang di pentas final hari ini.
Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur tewas 14-21, 17-21 kepada beregu Indonesia yang menghuni ranking kelapan dunia, Sabar Karyaman–Moh Reza Isfahani dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Thammasat Rangsit.
Aaron-Wooi Yik, yang juga beregu lelaki terakhir negara meraih emas Sukan SEA pada edisi Manila 2019, sebelum ini turut dikecewakan oleh Sabar-Reza dalam final acara berpasukan lelaki pada 10 Disember lalu, apabila Indonesia mencatat kemenangan 3-0 untuk membawa pulang emas.
Sebelum itu, beregu wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah, menyelamatkan maruah kem badminton Malaysia dengan menghadiahkan satu-satunya emas selepas menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari, 21-16, 19-21, 21-17 dalam aksi final mendebarkan.
Malaysia menamatkan kempen badminton dengan satu emas, dua perak dan enam gangsa, jauh daripada sasaran empat pingat emas yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/12/1485070/aaron-wooi-yik-kecundang-badminton-hanya-bawa-pulang-satu-emas
|