Kuala Lumpur: Hafizh Syahrin Abdullah memastikan lagu Negaraku dinyanyikan di Buriram, Thailand apabila pelumba JDT Racing Team itu mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menjuarai Perlumbaan 1 kelas elit ASB1000 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hari ini.
Kemenangan penuh dramatik itu turut membolehkan bekas pelumba MotoGP negara itu merampas kedudukan pendahulu keseluruhan kejuaraan daripada pencabar terdekat yang juga jaguh tuan rumah, Nakarin Atiraphuvapat.
Memulakan perlumbaan dari petak kelima, Hafizh terpaksa mengerahkan segala kudrat untuk menyaingi kelompok depan yang dibarisi pelumba tuan rumah, Nakarin (Honda Racing Thailand), pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Astra Honda Racing) dan pelumba Jepun, Keito Abe (SDG HARC-Pro Honda Philippines).
Begitupun, keberanian Hafizh melakukan pintasan drastik pada pusingan terakhir membolehkannya menyambar kedudukan pertama, meninggalkan Andi dan Keito yang terpaksa berpuas hati melengkapkan podium di tempat kedua dan ketiga.
Kejayaan manis itu menyaksikan Hafizh kini menerajui carta kedudukan pelumba dengan mengumpul 173 mata, memiliki kelebihan lapan mata di hadapan Nakarin yang turun ke tangga kedua dengan 165 mata.
Mengulas mengenai kejayaan itu, Hafizh mengakui terkejut dengan rentak tunggangannya memandangkan pasukan berdepan kesukaran ketika sesi latihan khususnya semalam.
"Saya amat terkejut dengan rentak hari ini kerana banyak perkara dicuba sewaktu latihan semalam. Kami tidak dapat bertambah baik terutamanya di sektor terakhir dan tewas kepada jentera Honda di situ.
"Pagi ini kami berjaya merapatkan jurang tetapi masih belum mencukupi. Jadi ketika perlumbaan, saya mengambil keputusan mengubah sedikit laluan perlumbaan.
"Saya tahu jentera saya kuat di sektor kedua, sebab itu saya mahu berada di depan Andi pada pusingan terakhir, kemudian melakukan serangan ke atas Nakarin di tempat sama. Strategi itu menjadi dan kami melakukannya dengan baik," katanya.