Akhirnya setelah bertahun2 kes bertangguh. Esok akan mula perbicaraan kes saman Tun M terhadap PMX.

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi prosiding kes saman fitnah RM150 juta yang difailkan beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Prosiding hari ini, pada asalnya dijadualkan sebagai sebahagian daripada perbicaraan tujuh hari yang ditetapkan bermula 13 hingga 14 Ogos dan bersambung dari 18 hingga 21 Ogos. Namun, susulan pertukaran pesuruhjaya kehakiman, sesi hari ini hanya berlangsung sebagai pengurusan kes, bukan perbicaraan penuh. Pesuruhjaya kehakiman Zaharah Hussain yang sepatutnya mendengar kes berprofil tinggi ini telah ditukarkan, dan fail kes kini dipindahkan kepada pesuruhjaya kehakiman baharu. Hakim Mahkamah Tinggi, Donald Joseph Franklin bagaimanapun, menetapkan tarikh 21, 23 dan 29 Oktober ini untuk perbicaraan. Ketika ditemui media di luar mahkamah, Dr. Mahathir berharap kes itu dapat dibicarakan secepat mungkin kerana atas faktor usianya. Saman ini difailkan beliau pada Mei 2023 selepas mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam satu ucapan politik. Menurutnya, kenyataan itu memberi gambaran beliau seorang pemimpin yang tamak, berbangga dengan keturunan serta mempergunakan kedudukan bagi kepentingan keluarga dan kroni. Dr. Mahathir menegaskan, dakwaan itu juga telah mencemar reputasinya sebagai tokoh politik yang pernah memimpin negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, dan sekali lagi pada 2018 hingga 2020. Justeru, beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM150 juta, iaitu RM50 juta untuk ganti rugi am dan RM100 juta untuk ganti rugi teladan. Anwar yang dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut menafikan kenyataannya bersifat fitnah. Menurut pihak pembelaan, ucapan yang dibuat hanyalah sebagai penjelasan politik dan berada dalam ruang lingkup kebebasan bersuara. Selain itu, Anwar turut berhujah, Dr. Mahathir sebagai seorang tokoh politik berpengaruh tidak boleh dikecualikan daripada kritikan umum, apatah lagi berkaitan isu kepimpinan dan integriti. – ND
Kredit : Nasional Daily
|