Penyerang dari bandar bersebelahan kemudian ditembak mati polis, lapan cedera

Tangkap layar rakaman dron daripada akaun 'X/Julie J/@MALKOWSKI6APRIL' menunjukkan keadaan di Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints di Grand Blanc, Michigan sewaktu serangan pada Ahad. - Gambar AFP
GRAND BLANC: Seorang lelaki melepaskan tembakan dalam sebuah gereja Mormon di Michigan sebelum membakar bangunan tersebut pada Ahad, menyebabkan sekurang-kurangnya empat maut dalam tragedi berdarah terkini yang disifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai sebahagian daripada wabak keganasan negara.
Polis di negeri utara itu berkata, penyerang terlebih dahulu merempuh bangunan gereja dengan kenderaannya sebelum melepaskan tembakan menggunakan raifal gempur dan kemudian membakar bangunan tersebut.
Penyerang itu ditembak mati anggota polis di tempat parkir kereta lapan minit selepas panggilan kecemasan pertama diterima, kata Ketua Polis Grand Blanc William Renye dalam sidang media.
Beliau menyatakan, selain dua mangsa yang maut, dua lagi mayat telah ditemui dalam puing bangunan gereja yang ranap terbakar dan kerja-kerja mencari masih diteruskan.
Beliau terdahulu berkata, lapan cedera dalam serangan itu dan seorang daripadanya dalam keadaan tenat.
Wartawan AFP di bandar bersebelahan Burton menyaksikan ramai anggota polis di luar kediaman suspek yang dikenal pasti Renye sebagai Thomas Jacob Sanford, 40.
Menurut laporan media tempatan, suspek membesar di kawasan itu dan merupakan veteran tentera.
Imej kesan serangan di Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints di Grand Blanc, kawasan pinggir bandar Flint, menunjukkan sebahagian besar bangunan tersebut hangus terbakar.
Pihak berkuasa berkata, suspek menggunakan bahan pencepat dipercayai petrol dan membakar bangunan gereja itu secara sengaja.
Ada pihak percaya bahan letupan juga ditemui tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia juga digunakan untuk mencetuskan kebakaran.
Gambar juga menunjukkan trak yang dipandu penyerang merempuh tepi bangunan dengan dua bendera AS dikibarkan di belakangnya.
Ejen Khas Reuben Coleman memberitahu sidang media bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini mengetuai siasatan dan sedang meneliti faktor keganasan bersasar.
Renye sebelum ini menyatakan ratusan orang berada di dalam gereja ketika serangan bermula dan lebih ramai mangsa mungkin ditemui di celah runtuhan.
Trump menyifatkan insiden tembakan itu sebagai mengerikan dan satu lagi serangan yang menyasarkan penganut Kristian di AS.
Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints yang mana pemimpinnya meninggal dunia pada malam sebelumnya pada usia 101 tahun, menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keganasan yang tragik.
“Rumah ibadat sepatutnya menjadi santuari kedamaian, doa dan hubungan.
"Kami berdoa agar semua yang terlibat diberi ketenangan dan pemulihan,” tulisnya dalam X.
Diasaskan pada 1830, gereja Mormon mahu dikenal pasti sebagai sebuah badan Kristian tetapi asas doktrinnya berpandukan Book of Mormon, sebuah teks yang menurut pengikutnya mengandungi versi lebih padat kata-kata Jesus Christ berbanding yang direkodkan dalam kitab Injil.
Berpangkalan di negeri barat Utah, gereja Mormon juga terdapat di seluruh dunia dengan jutaan pengikut.
|