Marquez sah juara dunia MotoGP kali ketujuh
September 28, 2025 @ 2:10pm

Pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Marquez meraikan kejayaannya menghuni tangga kedua perlumbaan MotoGP Grand Prix Jepun di Motegi sekali gus merangkul kejuaraan dunia kali ketujuh sebentar tadi. – Foto REUTERS
MOTEGI, Jepun: Marc Marquez menamatkan penantian panjang apabila muncul juara dunia buat kali ketujuh selepas mengesahkan kejuaraan MotoGP di Grand Prix Jepun, hari ini yang juga gelaran pertamanya sejak 2019.
Penunggang Ducati itu hanya perlu mengatasi jumlah mata adiknya, Alex daripada Gresini Racing, sekurang-kurangnya tiga mata hujung minggu ini untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal.
Dia menamatkan saingan di tangga kedua di belakang rakan sepasukan, Francesco Bagnaia sekali gus memastikan kejuaraan dengan berbaki lima pusingan.
Joan Mir (Honda) menamatkan perlumbaan di tangga ketiga, manakala Alex di tempat keenam, sekali gus menyaksikan Marc mendahului saingan dengan kelebihan 201 mata berbanding adiknya.
Alex juga menjadi orang pertama mendekati Marc sebaik tamat perlumbaan untuk memeluk dan mengucapkan tahniah kepadanya.
Ketika melintasi garisan penamat, Marquez dilihat menekup kepalanya sebelum menjerit kegembiraan apabila menyedari kejayaannya.
Pelumba Sepanyol itu kemudian berhenti di hadapan skrin besar dan menyaksikan montaj perjalanan sukar enam tahun lalu yang penuh liku - termasuk lebih 100 kemalangan dan empat pembedahan - sebelum kembali merangkul gelaran dunia selepas menunggu selama 2,184 hari. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/09/1451544/marquez-sah-juara-dunia-motogp-kali-ketujuh
|