
Pasukan polis berlindung di sebalik perisai ketika penunjuk perasaan membaling batu ke arah mereka selepas membakar hangus sebuah van treler semasa demonstrasi dekat Istana Malacanang di Manila pada Ahad. - Gambar AFP
MANILA: Pihak polis di ibu negara Filipina menahan lebih 200 orang dalam pertelingkahan dengan penunjuk perasaan bertopeng yang meletus sehari selepas demonstrasi antirasuah yang aman, menurut jurucakap pada Isnin.
Sekurang-kurangnya 88 individu bawah umur ditahan dalam kalangan 216 orang yang dimasukkan ke lokap pada Ahad ketika pihak polis menggunakan meriam air dan siren memekakkan telinga bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang kebanyakannya masih muda dan membaling batu.
Datuk Bandar Manila Isko Moreno berkata, suspek paling muda ialah seorang budak lelaki berusia 12 tahun.
Ribuan penduduk Filipina berhimpun di Manila pada Ahad bagi menyuarakan kemarahan mereka terhadap peningkatan skandal melibatkan projek kawalan banjir yang dibuat semberono malah tidak pernah disiapkan sama sekali yang menyebabkan pembayar cukai kerugian berbilion dolar.
Skandal itu telah menyaksikan ramai penggubal undang-undang disebut dan para pemimpin kedua-dua dewan Kongres meletak jawatan semasa satu siasatan.
Namun pertelingkahan di jalanan pada Ahad yang menyaksikan banyak kenderaan polis dibakar dan tingkap sebuah ibu pejabat presint dipecahkan, mengancam untuk membayangi demonstrasi aman yang dihadiri keluarga, aktivis, paderi dan ahli politik.
"Setakat ini tiada seorang pun mengakui sebab di sebalik perbuatan mereka atau sekiranya mereka dibayar mana-mana pihak.
"Sebaik sahaja kami mengetahui kecenderungan mereka, kami dapat memastikan sama ada mereka penunjuk perasaan sebenar atau hanya pengacau," menurut jurucakap polis wilayah Mejar Hazel Asilo kepada AFP.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin oleh jabatan kesihatan, kira-kira 50 orang dibawa ke sebuah hospital di Manila susulan pertelingkahan tersebut.
Seorang lagi jurucakap polis Mejar Philipp Ines berkata, seramai 93 pegawai cedera pada Ahad manakala jumlah orang yang ditahan mungkin meningkat ketika masih ramai sedang diproses.
Kemarahan terhadap projek infrastruktur hantu itu memuncak di negara Asia Tenggara tersebut sejak Presiden Ferdinand Marcos menyorot isu tersebut dalam ucapan kepada negara pada Julai lalu susulan banjir maut berminggu-minggu.
Jabatan Kewangan menganggarkan ekonomi Filipina mengalami kerugian hingga 118.5 bilion peso (USD2 bilion) daripada 2023 hingga 2025 ekoran rasuah dalam projek kawalan banjir.
Namun Greenpeace mencadangkan angka sebenar mencecah USD18 bilion.
|