CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 218|Reply: 0

[Sembang Bola Sepak] PSG raih kebangkitan dramatik juarai Piala Super UEFA

[Copy link]
Post time 14-8-2025 10:17 AM | Show all posts |Read mode
PSG raih kebangkitan dramatik juarai Piala Super UEFA

Ogos 14, 2025 @ 6:02am




Kapten PSG, Marquinhos menjulang trofi Piala Super UEFA selepas menundukkan Tottenham 4-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Bluenergy, Udine, Itali. Kedudukan terikat 2-2 selepas 90 minit. – Foto AFP



UDINE, Itali: Paris Saint-Germain (PSG) memenangi trofi kelima mereka tahun ini selepas menewaskan juara Liga Europa, Tottenham Hotspur 4-3 menerusi penentuan penalti apabila terikat 2-2 dalam perlawanan dramatik di Udine, sekali gus meraih kejayaan pertama mereka dalam Piala Super UEFA.

Walaupun tidak berada pada tahap terbaik, PSG membuktikan mengapa mereka adalah juara Eropah apabila kebangkitan lewat menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan 0-2 pada minit ke-84 untuk menyamakan kedudukan dan akhirnya menang melalui penentuan penalti, menambah satu lagi piala ke dalam koleksi mereka.

Spurs bermula garang, membuatkan lawan tidak selesa dengan pendekatan intensiti tinggi, yang jelas menggembirakan ketua jurulatih baharu mereka, Thomas Frank di tepi padang.

Detik terbaik mereka pada awal permainan hadir apabila Richarlison merampas bola di bahagian tengah sebelum melakukan hantaran satu-dua dengan Mohammed Kudus dan melepaskan rembatan kencang yang berjaya ditepis oleh penjaga gol baharu PSG, Lucas Chevalier.

Pasukan kendalian Luis Enrique kelihatan agak 'berkarat' selepas pramusim yang singkat, kerap kehilangan bola susulan hantaran lemah dan sukar membabitkan pemain utama mereka dalam perlawanan.

Kesilapan itu dihukum pada minit ke-39 apabila mereka gagal mengeluarkan bola daripada sepakan percuma yang dihantar ke dalam kotak penalti.

Chevalier menepis percubaan kencang Joao Palhinha ke palang gol, namun Micky van de Ven - salah seorang wira Spurs dalam kemenangan Liga Europa di Bilbao - pantas menyambar bola muntah untuk menjaringkan gol pembukaan.

PSG dikejutkan sekali lagi hanya beberapa minit selepas separuh masa kedua bermula.

Cristian Romero, yang diumumkan sebagai kapten baharu Spurs untuk musim akan datang semalam, meraikan pelantikan itu dengan tandukan tepat ke penjuru gol selepas menerima hantaran silang sempurna daripada Pedro Porro untuk menggandakan kelebihan pasukan.

Namun, semakin masa berlalu, Les Rouge et Bleu mula meningkatkan tempo.

Desire Doue melepaskan rembatan leret yang berjaya ditepis oleh Guglielmo Vicario - yang beraksi di bandar kelahirannya - sebelum Ousmane Dembele pula melakukan rembatan lencong yang tersasar.

Selepas tekanan berterusan, mereka akhirnya mendapat gol yang diinginkan apabila pemain gantian, Lee Kang In melakukan rembatan cantik dari luar kotak penalti yang menewaskan Vicario, membuka laluan kepada penamat mendebarkan.

PSG terus menguasai permainan dan menggempur gawang Spurs dan ketika perlawanan hampir tamat, Dembele menyelinap masuk di sebelah kanan sebelum melakukan hantaran silang deras yang disambar Goncalo Ramos dengan tandukan terbang untuk menyamakan kedudukan, mencetuskan sorakan gemuruh penyokong Perancis dan mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Vitinha gagal menyempurnakan penalti pertama PSG, tetapi Van de Ven dan Mathys Tel pula tidak berjaya menyudahkan sepakan masing-masing buat Spurs.

Nuno Mendes kemudian tenang menjaringkan sepakan kelima yang menentukan kemenangan, memastikan PSG meraih trofi Piala Super pertama mereka.

Ia merupakan permulaan sempurna musim bagi juara Ligue 1 itu.

Spurs pula, walaupun kecewa, boleh mengambil sisi positif kerana berjaya memberi tentangan hebat kepada pasukan yang dianggap terbaik di dunia ketika ini, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk mara jauh dalam Liga Juara-Juara musim ini. – AGENSI

https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/08/1432972/psg-raih-kebangkitan-dramatik-juarai-piala-super-uefa





Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Sukan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-2-2026 07:34 AM GMT+8 , Processed in 0.220411 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list