KBS mohon dana khas buat Hakim Danish
Oleh Khairil S Iswan - Ogos 13, 2025 @ 2:25pm

Hakim Danish perlu dana untuk meneruskan perlumbaan di Eropah.
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon dana tambahan khas daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi membantu pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan program perlumbaan di Eropah.
Langkah itu diambil selepas permohonan geran daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) tidak dapat dipenuhi berikutan dana sedia ada terhad dan menerima permohonan tinggi daripada pelbagai pihak.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya sedar negara mempunyai ramai bakat sukan yang perlu disokong, namun mengakui dana sedia ada tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan terutama sukan permotoran yang memerlukan pelaburan besar.
"Jadi untuk Hakim, kita akan memohon kepada MOF untuk dapatkan lebih banyak dana," katanya selepas majlis perasmian Grand Prix MotoGP Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Hannah menjelaskan dana KWASN tidak mencukupi kerana menerima terlalu banyak permohonan yang melebihi peruntukan sedia ada, sekali gus memaksa kementerian mencari alternatif lain.
"Sebab itu kita telah mohon (kepada MOF) dan kita juga akan terus membuat susulan dengan Kementerian Kewangan untuk tengok bagaimana kita boleh bantu Hakim.
"Saya tahu MAM (Persatuan Sukan Permotoran Malaysia) juga sedang berusaha untuk bantu Hakim," katanya.
Hakim Danish menerusi pengurusannya, ZK Racing memohon geran KWASN bagi menampung perbelanjaan pelumba itu di Eropah termasuk mendapatkan jentera terbaik untuk bersaing dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/08/1432736/kbs-mohon-dana-khas-buat-hakim-danish
|