Edited by JoyahMengayah at 11-8-2025 06:20 AM
KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Ruhainies, 33, mendakwa kecaman teruk warganet terhadap dirinya sebagai perlakuan buli terbesar yang diterima dalam hidup.
Ruhainies yang sering terkait dalam kes sensasi berkata, media sosial yang kian dipenuhi manusia toksik menyebabkan dia memilih untuk tidak membaca komen.
Malah, Ruhainies jarang menggunakan platform itu lagi dalam rutin harian.
"Saya pilih untuk tidak baca komen kerana terlalu banyak toksik. Ada yang sampai buat parodi. Apa yang saya perhatikan, bukan saya seorang sahaja yang hadapi perkara ini, sebaliknya, orang awam jadi mangsa.
"Cuma, mungkin saya selebriti, jadi lebih teruklah dikecam. Saya lihat artis lain pun berdepan nasib sama. Kadang-kala hantaran mereka biasa sahaja, tetapi masih ada komen negatif.
"Semakin hari saya lihat pengguna media sosial makin merepek dan melampau. Dulu lebih relaks dan santai, mungkin kekangan ekonomi dan kesihatan mental menjadikan media sosial kian toksik," katanya yang ditemui pada majlis Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di sini, malam tadi.
Ruhainies atau nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, berkata dia hanya menggunakan media sosial apabila perlu seperti mempromosikan kempen atau projek yang dijayakan.
Malah, Ruhainies memilih tidak mengambil tahu mengenai dunia luar dan perkara yang tidak berkaitan dengan dirinya demi menjaga kesihatan mental.
Fokus Ruhainies adalah mencari rezeki dan memberi tumpuan pada keluarga serta insan rapat.
Sementara itu, Ruhainies teruja kembali ke lokasi penggambaran selepas hampir setahun berehat.
"Insya-Allah, ada beberapa projek menanti. Saya akan umum dalam media sosial, tidak lama lagi.
"Saya baru selesai satu projek bersama TV3. Saya fikir sudah lama sangat berehat. Jadi, sudah tiba masanya untuk saya kembali berlakon," katanya.
Ditanya adakah dia masih berkawan dengan penyanyi dan pelakon, Singapura, Aliff Aziz, Ruhainies berkata, dia berkawan dengan semua orang dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
BH
|