|
|
Perancis dijangka paling teruk terjejas dengan suhu mencecah 31 darjah Celsius

Matahari terbit melatari pemandangan Menara Eiffel dan Sacre Coeur Basilica di atas bukit Montmartre di Paris pada Selasa ketika bandar raya pelancongan itu berada pada tahap amaran merah suhu tinggi. - Gambar AFP
PARIS: Paris berada dalam amaran merah bagi suhu tinggi pada Selasa, dengan puncak Menara Eiffel ditutup, kenderaan tidak dibenarkan berada di jalan raya dan sekatan kelajuan ditetapkan ketika gelombang haba mencengkam seluruh Eropah.
Negara-negara Mediterranean dari semenanjung Iberia melalui Perancis dan Itali hingga ke rantau Balkan dan Greece sudah beberapa hari kepanasan dilanda gelombang haba, mencetuskan amaran kesihatan dan risiko kebakaran hutan yang memuncak.
Suhu di Perancis dijangka paling tinggi pada Selasa, menurtu agensi kaji cuaca Meteo France, dengan amaran haba ekstrem tertinggi diumumkan di 16 bahagian di seluruh negara.
Sejumlah 68 bahagian lagi pada tahap kedua tertinggi.
Meteo France meramalkan suhu minimum yang amat tinggi daripada 20 hingga 24 darjah Celsius kepada maksimum yang mencecah 36 hingga 41 darjah Celsius.
Pengusaha Menara Eiffel menutup puncak mercu tanda setinggi 330 meter itu pada Isnin dan dijangka hingga Rabu ekoran gelombang haba semasa.
Di seluruh wilayah Ile-de-France yang termasuk Paris, pihak polis berkata semua kecuali kenderaan paling tidak mencemar tidak akan dibenarkan berada di jalan raya ekoran tahap pencemaran ozon yang amat tinggi.
Had laju 20 kilometer sejam ditetapkan di beberapa tempat.
Di seluruh negara, kerajaan berkata dijangkakan hampir 1,350 sekolah akan ditutup sepenuhnya atau sebahagian, hampir dua kali ganda angka pada Isnin, dengan guru-guru mengadu kepanasan melampau dan bilik kelas kekurangan pengudaraan membuatkan para pelajar kurang sihat.
Amaran juga dikeluarkan bagi kanak-kanak kecil, warga emas dan penghidap penyakit kronik.
"Gelombang haba boleh membawa maut.
"Kita perlu menangani haba ekstrem dengan serius sama seperti ribut berbahaya," kata Akshay Deoras, saintis penyelidikan di Pusat Sains Atmosfera Nasional dan Jabatan Meteorologi di Universiti Reading, barat London.
Portugal bagaimanapun dijangka menarik nafas lega pada Selasa setelah dua hari amaran merah di beberapa wilayah termasuk Lisbon dan amaran akan diturun gred kepada amaran jingga di kesemua kawasan di daratan kecuali lapan tempat.
Namun suhu masih dijangka mencecah 40 darjah Celsius di bandar tengah Castel Branco, Beja dan Evora di selatan serta 34 darjah Celsius di ibu negara.
Agensi meteorologi nasional IPMA berkata, penduduk di pantai di utara dan tengah Portugal mungkin telah menyaksikan 'awan gulung' yang jarang disaksikan bertiup ke arah pantai pada Isnin.
Suhu serupa melebihi 30 darjah Celsius hingga pertengahan 40 darjah Celsius diramal di Sepanyol setelah mencecah 46 darjah Celsius di selatan, rekod baharu bagi Jun, menurut IPMA.
Amaran merah juga dikeluarkan bagi 18 bandar Itali sejak beberapa hari ini termasuk Rome, Milan, Verona, Perugia dan Palermo, selain merentasi Adriatik di pantai Croatia dan Montenegro.
Itali juga mengalami kejadian cuaca ekstrem pada Isnin apabila banjir kilat di wilayah utara Piedmont yang dicetuskan hujan lebat mengakibatkan kematian seorang lelaki berusia 70 tahun.
Laut Mediterranean turut merekodkan angka tertinggi baharu pada Jun mencecah 25.01 darjah Celsius pada Ahad, menurut saintis perkhidmatan kaji cuaca Perancis Thibault Guinaldo, yang memetik data daripada pemantau EU Copernicus.
Risiko kebakaran juga masih tinggi di beberapa wilayah di Portugal dan pada malam Isnin, kira-kira 250 anggota bomba giat menangani kebakaran di kawasan selatan Aljustrel.
Di Turkiey, pasukan penyelamat memindahkan lebih 50,000 penduduk yang diancam siri kebakaran hutan kebanyakannya dari wilayah barat Izmir, di mana angin selaju 120 kilometer sejam memarakkan api.
Greece juga giat menangani kebakaran hutan.
Sumber : Utusan Borneo
|
|