CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 473|Reply: 0

Protes kutuk majalah satira semakin memuncak di Turkiye

[Copy link]
Post time 3-7-2025 09:20 AM | Show all posts |Read mode


Penunjuk perasaan berdemonstrasi mengecam majalah satira LeMan susulan dakwaan ia menerbitkan kartun Nabi Muhammad di luar Masjid Taksim di Istanbul pada Selasa. - Gambar AFP

ISTANBUL: Penunjuk perasaan yang marah berhimpun di Istanbul pada Selasa, di sebalik kehadiran anggota polis yang ramai, sambil melaungkan ancaman susulan dakwaan bahawa sebuah majalah satira telah menerbitkan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad.

Ketegangan bermula lewat Isnin selepas Ketua Pendakwa Raya Istanbul mengarahkan penahanan beberapa kakitangan majalah mingguan LeMan, atas tuduhan menerbitkan kartun yang didakwa menghina serta mengejek nilai-nilai agama secara terbuka.

LeMan menafikan dakwaan tersebut, dan Ketua Pengarangnya memberitahu AFP bahawa imej berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Nabi Muhammad.

Namun, berita mengenai waran tangkap itu mencetuskan protes marah di jalanan, dengan penunjuk perasaan bertelingkah dengan polis sehingga larut malam, menurut koresponden AFP.

Kumpulan Pelantar Solidariti Islam menyeru satu lagi protes pada Selasa, memaksa polis menutup Dataran Taksim dan Istiklal, sebuah lebuh beli-belah sibuk di bandar itu.

Namun, perhimpunan tetap diteruskan dengan kira-kira 300 penunjuk perasaan melaungkan kecaman serta slogan “Jangan lupa Charlie Hebdo”, merujuk kepada serangan pada 2015 terhadap pejabat majalah di Paris, di mana sekumpulan penyerang bersenjata menembak mati 12 orang kerana menerbitkan karikatur yang dianggap menghina Nabi Muhammad.

Menurut koresponden, para penunjuk perasaan kurang agresif berbanding protes malam Isnin di mana kira-kira 400 orang cuba menyerbu sebuah kelab malam yang kerap dikunjungi kakitangan majalah terbabit.

"Jatuhkan sekularisme, lanjutkan syariah!

"Jihad, jihad, syahid!" laung mereka sambil bertelingkah dengan anggota polis yang melepaskan gas pemedih mata dan menembak peluru getah.

Penerbitan imej itu mencetuskan kecaman keras daripada Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang menyifatkannya sebagai jenayah kebencian.

"Perkara tersebut merupakan provokasi jelas yang disamari sebagai kelucuan, satu provokasi yang menjijikkan," katanya sambil menambah, pihak berkuasa telah merampas semua salinan majalah yang menerbitkan kartun tersebut.

Insiden keganasan pada Isnin turut menerima kecaman daripada Erol Onderoglu, wakil Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

"Tiada justifikasi bagi keganasan sedemikian yang kami kecam sekeras-kerasnya," katanya kepada AFP sambil menambah, sukar untuk memahami mengapa pihak polis tidak campur tangan lebih awal dan keselamatan para kakitangan mesti diutamakan.

Sebelum itu, menteri dalam negeri Ali Yerlikaya menerbitkan imej pelukis kartun, pereka grafik, penerbit dan seorang lagi kakitangan LeMan diseret ketika ditahan, mencetuskan kecaman daripada kumpulan hak asasi manusia Turkiye MLSA.

Persatuan Peguam Istanbul turut mengecam penahanan tersebut dengan berkata: "Tindakan seperti menggari secara terbalik yang dilakukan semasa penahanan, perkongsian rakaman video yang dirakam dengan memaksa tahanan menundukkan kepala dan tindakan seumpamanya dengan jelas melanggar peraturan layanan tidak wajar."

Salinan kartun tersebut yang dipaparkan dalam talian menunjukkan dua individu bersayap dengan kepala bermahkota cahaya terapung di atas langit sebuah bandar raya yang sedang dibom.

"Salam aleikum, saya Muhammad," kata seorang individu itu sambil berjabat tangan dengan individu yang lain yang menjawab, "Aleikum salam, saya Musa."

Ketua pembangkang Ozgur Ozel berkata, beliau mulanya terkejut apabila pertama kali mendengar tentang dakwaan tersebut tetapi setelah melihat imej berkenaan, beliau mendakwa ia tidak benar.

"Tengoklah betul-betul, saya melihat malaikat yang mati dalam pengeboman di Gaza, dengan mahkota cahaya dan sayap yang bertemu dengan malaikat lain yang juga mati akibat bom, tetapi Muhammad seorang nabi, bukannya malaikat," katanya.

Bercakap kepada AFP dari Paris, ketua pengarang LeMan Tuncay Akgun mendakwa imej tersebut sengaja disalah tafsir untuk mencetuskan provokasi.
"Dalam hasil kerja ini, nama seorang Muslim yang terbunuh dalam pengeboman Israel difiksyenkan sebagai Muhammad.

"Kartun itu bukan karikatur Nabi Muhammad dalam apa cara sekali pun," katanya sambil menyifatkan waran tangkap tersebut sebagai provokasi dan serangan ke atas majalah satira berusia puluhan tahun itu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-2-2026 04:54 AM GMT+8 , Processed in 1.420357 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list