Besut: "Bagi peluang umi dan abah saya berehat seketika," kata Mohd Najmuddin Azman, 28, abang kepada penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nurly Sahirah Azman.
Najmuddin berkata, pihak keluarga memutuskan tidak menerima tetamu bermula Rabu 2 Julai sehingga Sabtu 5 Julai ini.
"Rumah keluarga juga ditutup kepada umum dan harap mendapat kerjasama orang ramai," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, sejak awal kematian arwah Nurly bapa mereka Azman Mohamad, 63 serta ibu, Kamariah Abdul Latif, 56, tidak dapat berehat sepenuhnya.
"Insya-Allah ada rezeki (selepas tarikh itu) boleh datang ziarah," katanya.
Tinjauan wartawan semalam di rumah keluarga arwah turut mendapati kawasan rumah arwah penuh sesak dengan orang ramai berpusu-pusu mengambil gambar al-Quran tulisan tangan arwah (Tahriri).
Kawasan kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, juga tidak putus-putus menerima kehadiran orang ramai yang menziarahi kubur arwah.
Laluan masuk ke kawasan rumah arwah juga sesak sepanjang jalan dengan bersusun kereta dan motosikal menunggu giliran untuk masuk.
Salah seorang pengunjung, Normah Mohd Amin, 58, dari Kuala Berang, berkata, dia datang dengan rombongan kampung menaiki bas untuk menziarahi keluarga mangsa tragedi nahas membabitkan pelajar UPSI ini.
"Saya datang dengan rombongan kumpulan wanita kampung ke sini untuk melihat tulisan tangan arwah, ke kubur serta beberapa rumah mangsa lain," katanya.