SETIAP orang memerlukan tidur secukupnya supaya dapat mengembalikan semula tenaga dan membuatkan badan menjadi cergas semula.
Selain itu, tidur awal juga penting untuk kesihatan terutama jantung supaya ia menjadi lebih sihat.
Bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan jika seseorang itu kerap tidur lewat, mereka berisiko untuk mendapat strok.
Pakar Perunding Neurologi Hospital Pantai Ampang, Dr Azliza Ibrahim, berkata kajian menunjukkan, tidur kurang daripada enam jam setiap malam dikaitkan dengan peningkatan risiko strok sebanyak lapan peratus.
Katanya, ini kerana tidur lewat boleh mengganggu Ritma Sirkadian (jam biologi badan) yang memainkan peranan penting mengawal tekanan darah, metabolisme dan kesihatan jantung.
Apabila Ritma Sirkadian terganggu, ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, peningkatan keradangan dalam badan.
Beliau berkata, tidur tidak mencukupi atau tidur lewat boleh mempengaruhi kesihatan jantung dan otak kerana ia dapat meningkatkan tekanan darah, jantung dan risiko aterosklerosis (penyempitan saluran darah).
Katanya, keadaan itu semuanya meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.Katanya, ini kerana tidur lewat boleh mengganggu Ritma Sirkadian (jam biologi badan) yang memainkan peranan penting mengawal tekanan darah, metabolisme dan kesihatan jantung.
"Satu kajian yang diterbitkan di Jurnal Hypertension menunjukkan, individu tidur kurang daripada enam jam dikaitkan dengan risiko darah tinggi sebanyak 60 peratus dan ini antara faktor utama penyebab strok.
"Tidur tidak mencukupi juga boleh mengaktifkan sistem saraf simpatetik yang akan menyebabkan tekanan darah meningkat dan memberi tekanan tambahan pada jantung," katanya.
Beliau berkata, kurang tidur atau tidur lewat turut memberi kesan buruk kepada sistem kardiovaskular dan otak melalui beberapa mekanisme.
Katanya, apabila tidur tidak mencukupi, sistem saraf simpatetik menjadi lebih aktif, menyebabkan tekanan darah meningkat dan memberi tekanan tambahan pada jantung.
Selain itu, tidur tidak berkualiti juga boleh menyebabkan keradangan kronik pada salur darah dan merosakkan fungsi saluran darah serta meningkatkan risiko pembentukan darah beku dan plak dalam arteri.
"Apabila plak arteri berlaku, ia akan menyebabkan salur darah otak lebih sempit dan risiko strok akan lebih tinggi," katanya.
Gangguan metabolik pula katanya, juga boleh berlaku jika seseorang individu itu kurang tidur dan ia juga dikaitkan dengan peningkatan gula dalam darah dan kolesterol iaitu faktor risiko utama bagi strok dan penyakit jantung.
Selain itu katanya, gangguan Ritma Sirkadian pula boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon seperti kortisol dan melatonin yang memberi kesan negatif kepada jantung dan otak.
Dr Azliza berkata, terdapat dua jenis strok iaitu strok iskemik dan strok pendarahan.
Strok iskemik berlaku disebabkan darah beku di dalam salur darah otak dan menjadi punca utama strok merangkumi 85 peratus pesakit.
Strok jenis kedua pula katanya, adalah strok pendarahan dengan 15 peratus pesakit boleh mengalami jenis strok itu.
"Bagaimanapun, kedua-dua jenis strok ini berpunca daripada tekanan darah tinggi dan keradangan pada salur darah otak," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan National Sleep Foundation dan American Academy of Sleep Medicine (AASM), golongan dewasa memerlukan tujuh hingga sembilan jam tidur setiap malam untuk mengekalkan kesihatan optimum dan mengurangkan risiko strok.
Katanya, tidur kurang daripada enam jam setiap malam dikaitkan dengan peningkatan risiko strok sehingga lapan peratus lebih tinggi berbanding individu yang mendapat tidur yang mencukupi.
"Tidur lewat atau kurang tidur juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Berdasarkan kajian dalam Jurnal Hypertension, tidur kurang dari lima jam setiap malam dikaitkan dengan peningkatan risiko hipertensi sebanyak 61 peratus".
Bagi kanak-kanak pula katanya, mereka juga berisiko mendapat strok tetapi bukan berpunca daripada tekanan darah tinggi.
Katanya, ada pesakit kanak-kanak yang dirawatnya berusia 15 tahun dan mendapat strok kerana saluran darah kongenital atau salur darah tidak normal sejak lahir.
Menurutnya lagi, terdapat perbezaan kesan antara lelaki dan wanita yang tidur lewat. Kesan itu mungkin berbeza disebabkan perbezaan hormon dan gaya hidup.
Sebagai contoh katanya, wanita lebih cenderung mengalami insomnia dan migrain sekali gus mengganggu kitaran tidur mereka.
Lelaki pula katanya, lebih cenderung mengalami apnea tidur obstruktif (OSA) iaitu nafas berhenti ketika tidur, faktor pekerjaan dan gaya hidup yang menyebabkan masalah tidur.
"Namun, kedua-dua jantina berisiko tinggi mendapat strok jika tidur tidak mencukupi atau tidak berkualiti," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat faktor lain jyang turut meningkatkan risiko strok termasuk pemakanan tidak sihat seperti makanan tinggi garam, lemak tepu dan gula yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi serta penyumbatan saluran darah.
Kurang aktiviti fizikal juga katanya, boleh menyebabkan obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes.
"Kajian menunjukkan setiap individu disaran melakukan aktiviti fizikal seperti senaman ringan seperti joging atau 'brisk walk' selama 150 minit seminggu atau 30 minit selama lima hari bagi menurunkan risiko strok dan penyakit kardiovaskular," katanya.
Beliau berkata, merokok dan pengambilan alkohol juga antara faktor penyebab strok kerana ia boleh merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko pembekuan darah.
Selain itu, tekanan atau depresi berpanjangan juga boleh meningkatkan tekanan darah dan merangsang tindak balas keradangan dalam badan.
"Penyakit kronik lain seperti diabetes, kolesterol tinggi dan fibrilasi atrium juga boleh meningkatkan risiko strok.
"Insomnia kronik dikaitkan dengan peningkatan risiko strok sebanyak 54 peratus terutamanya dalam kalangan orang dewasa lebih muda," katanya.
INFO
Panduan meningkatkan kualiti tidur;
- Tetapkan jadual tidur yang konsisten iaitu tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari, termasuk hujung minggu.
- Kurangkan pendedahan kepada skrin sebelum tidur kerana cahaya biru daripada telefon dan komputer boleh mengganggu penghasilan melatonin iaitu hormon yang membantu tidur.
- Elak pengambilan kafein dan alkohol sebelum tidur kerana kafein boleh mengganggu kitaran tidur manakala alkohol boleh menyebabkan tidur tidak berkualiti.
- Cipta persekitaran tidur lebih baik dan selesa seperti memastikan bilik tidur gelap, sunyi dan sejuk.
- Amalkan teknik relaksasi iaitu meditasi, pernafasan dalam atau membaca buku kerana ia boleh membantu menenangkan minda sebelum tidur. - BH ONLINE
|