CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 23839|Reply: 0

Tragedi keluarga Miyazawa, kes terbesar dalam sejarah Jepun babitkan ratusan ribu penyiasat namun gagal mengesan pembunuhnya

[Copy link]
Post time 12-3-2025 08:22 PM | Show all posts |Read mode

Salah satu kisah pembunuhan terkenal di Jepun yang masih gagal dirungkai ialah kes keluarga Miyazawa, yang juga popular digelar sebagai ‘Setagaya Family Murders’. Keluarga itu dibunuh kejam pada 30 Disember 2000 di Setagaya, Jepun. Namun, sehingga ke hari ini pelakunya masih gagal ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Mangsa ialah Mikio Miyazawa berusia 44 tahun, isterinya bernama Yasuko berusia 41 tahun dan dua orang anak mereka iaitu Rei (anak lelaki berusia 6 tahun) dan Niina (anak perempuan berusia 8 tahun).

Mikio merupakan seorang pekerja di sebuah firma konsultan, manakala Yasuko adalah seorang guru sekolah. Keluarga ini menetap di sebuah kawasan perumahan terpencil di Setagaya sejak tahun 1990.


Pada awalnya, ramai penduduk tinggal di situ. Namun, menjelang tahun 2000, kawasan perumahan itu kian sunyi apabila ramai yang telah berpindah. Hanya tinggal empat keluarga masih menginap di situ.

Selain keluarga Mikio, di sebelah rumah mereka yang jenis berkembar adalah rumah ibu dan kakak Yasuko. Dua keluarga lain tinggal di seberang jalan tidak jauh dari rumah mereka.

Mayat Ditemui Menyayat Hati

Pada 31 Disember 2000, penduduk Jepun digemparkan dengan berita pembunuhan keluarga ini. Mayat ahli keluarga ini ditemui dalam keadaan menyayat hati. Mikio, Yasuko dan Niina ditemui dengan kesan tikaman, manakala anak lelaki mereka, Rei ditemui dengan kesan dicekik pada lehernya.

Hasil siasatan menyimpulkan, keluarga ini dibunuh sekitar 11.30 malam pada 30 Disember. Pembunuh dipercayai masuk ke rumah melalui tingkap bilik air di tingkat dua. Mangsa pertamanya ialah Rei. Pembunuh telah masuk ke bilik anak lelaki pasangan ini dan mencekik budak berusia enam tahun itu sehingga mati.


Ketika itu, Mikio yang berada di bawah terdengar bunyi bising di tingkat atas dan segera naik. Ketika itu dia bertembung dengan pembunuh dan berlaku pergelutan. Pembunuh sempat menikam Mikio menggunakan pisau pemotong sashimi. Mayat Mikio ditemui terbaring di atas anak tangga paling bawah.

Selesai membunuh bapa dan anak lelaki, pembunuh itu pergi mengambil pisau di dapur dan kemudian pergi ke loteng untuk mencari si ibu dan anak perempuannya pula. Yasuko dan Niina turut mati ditikam.

Setelah membunuh kesemua ahli keluarga ini, dikatakan pembunuh itu tidak segera keluar, namun sempat duduk di rumah mangsa beberapa ketika sebelum melarikan diri. Bahkan, pembunuh juga turut menggunakan tandas, merawat lukanya kesan daripada pergelutan ketika mahu membunuh mangsa, makan makanan di rumah mangsa selain cuba melayari Internet dengan komputer mangsa.


Pada malam kejadian itu, kakak Yasuko yang tinggal bersebelahan ada mendengar bunyi bising dari rumah adiknya itu. Namun, dia tidak mengesyaki apa-apa. Keesokan harinya, dia menelefon rumah Yasuko namun tidak berjawab.

Kakak Yasuko bersama ibunya datang ke rumah. Setelah menekan loceng berkali-kali, mereka rasa curiga kerana tiada sesiapa yang menyahut atau membuka pintu. Menggunakan kunci pendua, kakak Yasuko membuka pintu rumah itu dan terkejut melihat mayat keluarga adiknya lalu segera menghubungi polis.

Apa Motifnya?

Kurang jelas apa motif pembunuh membunuh keluarga ini. Cuma ada beberapa teori dikaitkan berdasarkan beberapa kejadian tersebut berlaku.

Ada saksi menyatakan pernah melihat Mikio bertengkar dengan pemain papan luncur yang menimbulkan bunyi bising berdekatan rumah mereka. Ada juga yang mengatakan Mikio pernah bergaduh dengan Kumpulan penunggang motosikal.

Beberapa hari sebelum tragedi itu berlaku, Yasuko dikatakan ada mengadu kepada bapa mertuanya tentang kehadiran seorang lelaki asing yang kerap memakir kereta di depan rumah mereka. Juga kehadiran lelaki yang tidak dikenali berkeliaran di kawasan rumah mereka. Tidak pasti apakah kesemua kejadian di atas ada kaitan dengan pembunuh keluarga ini.


Kes ini antara pembunuhan terbesar dalam sejarah Jepun apabila melibatkan lebih 246 ribu orang penyiasat dengan hampir 13 ribu bahan bukti. Melalui DNA dan cap jari yang ditemui, polis menganggarkan pembunuhnya berketinggian 170 sentimeter dengan fizikal yang kurus. Pembunuh juga dianggarkan berusia sekitar pertengahan 30-an, bertangan kanan dengan darah jenis A. Dan suspek juga berkemungkinan mempunyai darah campuran keturunan Eropah dan Asia Timur.

Walau pelbagai siasatan dijalankan, sehingga kini polis masih gagal menangkap suspek. Disebabkan statue of limitions, kes ini telah digugurkan pada tahun 2010. Pun begitu, dilaporkan seramai 35 orang penyiasat masih mengendalikan kes ini pada tahun 2019.

Barang bukti yang ditinggalkan pembunuh



Sumber: Utusan TV





This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-3-2025 04:30 PM GMT+8 , Processed in 0.511671 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list