CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 2421|Reply: 0

Tekad Dr Nur Haliza

[Copy link]
Post time 11-3-2025 01:20 PM | Show all posts |Read mode

Tidak dapat dinafikan, bidang teknologi adalah sinonim dengan golongan lelaki.

Meskipun terdapat peningkatan pembabitan wanita dalam bidang teknologi di negara ini, tetapi hakikatnya jurang antara jantina sebenarnya masih ketara.

Namun, Malaysia masih perlu berbangga kerana terdapat ramai tokoh wanita yang kini berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam bidang teknologi.

Antara tokoh wanita penting dalam bidang teknologi di negara ini adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM),Ts Dr Nur Haliza Abdul Wahab.

Wanita berusia 40 tahun dari Klang, Selangor ini bukan calang-calang figura. Beliau adalah graduan doktor falsafah dari UTM yang kini turut memegang jawatan sebagai Ketua Research Group, Pervasive Computing Research Group di universiti terbabit.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memiliki kepakaran dalam bidang Blockchain, Internet Kebendaan (IoT), Penentududukan Dalaman, Protokol Internet versi 6 (IPv6) dan Realiti Terimbuh, meliputi aspek teori, reka bentuk serta pelaksanaan.

Menurut Dr Nur Haliza, kesedaran dan sokongan yang berterusan adalah penting bagi memastikan lebih ramai wanita dapat menceburi serta berjaya dalam bidang teknologi.

Kata beliau, penting bagi wanita untuk menguasai bidang itu kerana penguasaan golongan hawa dapat mencapai keseimbangan dan keragaman dalam industri berkenaan.

Ia sekali gus dapat mendorong inovasi dan penyelesaian yang lebih inklusif.


Kata Dr Nur Haliza, beliau memilih untuk mengkhususkan diri dalam teknologi Blockchain dan IoT kerana kedua-dua teknologi itu memiliki potensi revolusioner untuk mengubah banyak industri selain meningkatkan keupayaan operasi dalam industri.

"Kepakaran ini membolehkan saya untuk ceburi dalam mencipta penyelesaian yang selamat, telus dan berkesan untuk masa depan digital.

"Harapan saya ialah ingin menjadi contoh dan inspirasi bagi generasi wanita muda yang berminat memasuki bidang ini khususnya dalam teknologi Blockchain dan IoT," katanya kepada Harian Metro.

Menyoroti minatnya terdapat bidang teknologi Dr Nur Haliza berkata, semua bermula ketika beliau masih kecil apabila melihat bagaimana teknologi dapat membantu dan mengubah cara masyarakat berkomunikasi.

Selain itu, minatnya turut bercambah kerana teknologi juga dapat membantu orang ramai berinteraksi dalam kehidupan seharian.

Kata Dr Nur Haliza, beliau ingin menggunakan teknologi sebagai alat untuk meningkatkan kehidupan dan ekonomi masyarakat.

Justeru, beliau berazam untuk menjadi tokoh wanita yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap teknologi di Malaysia.

"Saya ingin menggunakan kepakaran saya dalam Blockchain dan IoT untuk membantu meningkatkan pengetahuan dan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat secara umum, serta memberdayakan lebih ramai wanita untuk terbabit dalam teknologi.

"Dengan memperkasa wanita dan memajukan penggunaan teknologi inovatif, saya percaya kita dapat membawa transformasi signifikan yang akan menentukan arah dan kejayaan Malaysia di arena global.

"Selain itu, saya juga berhasrat untuk memperluas kolaborasi antara sektor selain meningkatkan kefahaman dan aplikasi praktikal teknologi terkini, khususnya dalam industri serta sektor awam di negara kita," katanya.

Mengakui teknologi juga ada cabarannya sendiri Dr Nur Haliza berkata, cabaran terbesar golongan wanita dalam bidang itu adalah mengatasi stereotaip jantina.

Selain itu, beliau juga pernah berdepan dengan cabaran untuk mencari keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab kepada keluarga.

"Alhamdulillah semua itu dapat ditangani dengan fokus kepada profesionalisme dan membangunkan jaringan sokongan yang kuat dan kepimpinan melalui teladan.

"Semuanya juga berbalik kepada niat dan tujuan utama iaitu saya mahu membimbing serta memperkasakan wanita dalam dunia teknologi," katanya yang mengakui tidak akan dapat berada di tempat hari ini tanpa doa dari ibunya, Kamariah Ibrahim, 77.


Dalam pada itu, Dr Nur Haliza mengakui memang tidak mudah bagi seorang ibu mengimbangi masa antara kerjaya dan keluarga, apatah lagi tiga anaknya masih kecil.

Namun, katanya, ia tidak mustahil dengan keseimbangan masa sebaiknya dan perancangan fleksibiliti yang teliti.

"Walau sesibuk mana sekali pun, saya tetap akan mengutamakan waktu keluarga kerana sebagai ibu tunggal, semuanya perlu dilakukan sendiri.

"Saya beruntung kerana meskipun masih kecil, tetapi anak-anak amat memahami kerjaya dan kesibukan waktu kerja ibu mereka.

"Jika ada waktu terluang contohnya, saya akan menghabiskan masa keluar beriadah atau bercuti bersama anak-anak serta ahli keluarga yang lain," katanya.

Sebelum mengakhiri temu bual, Dr Nur Haliza tidak ketinggalan menitipkan nasihat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, golongan muda di negara ini jangan takut untuk mencuba perkara baharu dan membuat kesilapan kerana ia adalah sebahagian dari proses pembelajaran yang paling berharga.

Kata beliau, dalam mencari dan menentukan arah tujuan hidup, penting untuk kita supaya aktif menggali dan mengembangkan potensi diri.

Ini kerana masa depan berubah dengan sangat cepat, jadi jangan berlengah dalam mengambil tindakan.

"Berdirilah di atas kaki sendiri dan jangan terlalu bergantung pada bantuan orang lain kerana pada akhirnya, kita sendirilah yang bertanggung jawab atas perubahan dalam hidup kita.

"Lebih dari itu, ingatlah bahawa setiap usaha kita bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk menghargai dan membalas jasa orang tua dan keluarga kita.

"Jadi, berusahalah untuk menjadi versi terbaik dari diri sendiri, tidak hanya untuk keberhasilan peribadi, tetapi juga untuk memberikan sumbangan yang positif kepada masyarakat," katanya

Anugerah dan Pencapaian:

National Industry Grant Award, 2024

Bronze Award, INATEX, 2024

Anugerah Penyelidikan (Perunding), 2024

Anugerah Penghargaan Penerbitan Jurnal WOS Q1/Q2, 2024

Excellent Service Award, 2023

Author Awards in Indexed Journals, 2023

Anugerah Ibu Zain Kategori Wanita Teknologi 2025.


Sumber: Harian Metro


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-2-2026 02:19 AM GMT+8 , Processed in 0.978102 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list