|
|
PADA 8 Mac setiap tahun, Hari Wanita Antarabangsa disambut di seluruh dunia bagi meraikan kejayaan dan perubahan dalam agenda pemerkasaan wanita.
Di Malaysia, Hari Wanita Antarabangsa 2025 kali ini bertemakan Wanita Beraspirasi Membina Legasi.
Dalam dunia yang semakin terbuka kepada kesetaraan gender, wanita muda kini muncul sebagai pemimpin berwibawa yang berani membawa perubahan dalam pelbagai bidang.
Mereka bukan sahaja memecahkan stereotaip tradisional, malah mencipta landasan baharu untuk kepimpinan yang lebih inklusif dan berkesan.
Namun begitu, adakah pencapaian dan inisiatif sedia ada sudah mencukupi untuk diraikan?
Menurut Timbalan Pendaftar Pusat Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Salmiwati Othman, kemahiran kepimpinan dalam kalangan wanita muda mula diasah sejak zaman persekolahan dan diteruskan sehingga peringkat universiti.
Menurutnya, pilihan raya kampus antara yang menjadi platform penting dalam melahirkan pemimpin muda wanita.
"Namun, statistik menunjukkan bahawa kadar penyertaan wanita sebagai calon dalam Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2024/2025 di universiti awam masih rendah walaupun jumlah kemasukan pelajar wanita jauh lebih tinggi berbanding lelaki.
"Situasi ini mencerminkan cabaran sebenar dalam merealisasikan agenda pemerkasaan wanita di peringkat akar umbi.
"Universiti seharusnya menjadi medan utama menggilap bakat kepimpinan wanita muda yang bakal menjadi pelapis negara.
"Oleh itu, pelbagai inisiatif berimpak perlu digerakkan bagi memastikan bakat ini tidak terpinggir," katanya.
Dr Salmiwati berkata, generasi muda wanita kini semakin aktif dalam arena politik dan gerakan sosial.
Menurutnya, mereka tidak lagi sekadar menjadi pengikut, sebaliknya tampil sebagai pemimpin yang membawa agenda progresif.
"Ramai wanita muda memegang jawatan penting dalam kerajaan, Parlimen serta organisasi bukan kerajaan (NGO).
"Isu seperti kesetaraan gender, pendidikan, kesihatan dan hak asasi manusia semakin lantang diperjuangkan.
"Malah, gerakan seperti #PERTIWI dan #JEIWA membuktikan bahawa wanita muda mampu menggerakkan perubahan melalui kepimpinan yang berani dan berprinsip," katanya.
Dalam bidang keusahawanan, pemimpin wanita muda giat memperkenalkan program pemerkasaan ekonomi seperti akses kepada modal, latihan kemahiran dan jaringan mentor untuk wanita.
Selain itu, bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang dahulunya didominasi lelaki kini semakin diterokai wanita muda.
"Mereka bukan sahaja menguasai bidang ini, malah menggunakan teknologi untuk mencipta inovasi yang menyelesaikan masalah sosial.
"Pembangunan aplikasi kesihatan, platform pendidikan dan penyelesaian teknologi hijau antara contoh bagaimana wanita muda memanfaatkan kepakaran mereka untuk perubahan lebih baik," katanya.
Walaupun semakin ramai wanita muda tampil sebagai pemimpin, mereka masih berdepan cabaran seperti diskriminasi, stereotaip dan ketidakseimbangan gender.
Dr Salmiwati berkata, pemimpin wanita muda di universiti misalnya, sering kali diberikan peranan picisan seperti setiausaha atau bendahari dalam majlis tertinggi mahasiswa atau persatuan pelajar.
"Situasi ini membuktikan masih banyak perlu dilakukan bagi membuka lebih banyak ruang kepimpinan kepada wanita muda.
"Justeru, saya berharap pihak berkepentingan dapat memainkan peranan lebih aktif dalam memberi peluang yang saksama kepada wanita muda, terutama di peringkat universiti dalam mencungkil bakat mereka terutama membabitkan kepimpinan.
"Sokongan institusi pendidikan juga sangat penting bagi memastikan bakat kepimpinan wanita muda terus berkembang," katanya.
Pada masa sama, pelajar wanita di universiti perlu sensitif terhadap peranan yang dimainkan rakan sekuliah mereka.
Hal ini kerana, wanita masih sering diberi tugasan picisan serta hanya berperanan sebagai setiausaha atau bendahari dalam majlis tertinggi mahasiswa atau persatuan pelajar.
Justeru, pelajar wanita perlu menyokong visi kepimpinan generasi muda wanita untuk mencipta dunia lebih adil serta perubahan lebih positif.
Dr Salmiwati berkata, pemerkasaan wanita muda dalam kepimpinan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
"Setiap langkah kecil yang diambil walaupun nampak sederhana, mampu membawa perubahan besar kepada masyarakat.
"Jika lebih ramai yang menyedari potensi dan kehebatan kepimpinan wanita muda, masa depan negara pasti lebih cerah dan seimbang," katanya.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|