CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 20550|Reply: 0

Berbuka bersama tapi kenapa perempuan sahaja yang penat?

[Copy link]
Post time 7-3-2025 05:33 PM | Show all posts |Read mode

SETELAH seharian menahan lapar dan dahaga sepanjang Ramadan, setiap daripada kita pasti menantikan laungan azan Maghrib sebagai untuk berbuka puasa.

Namun, pernahkah kita perhatikan bahawa selalunya kaum perempuan yang bersungguh-sungguh menguruskan persiapan berbuka? Begitu juga ketika sahur, merekalah yang perlu bangun lebih awal daripada ahli keluarga lain untuk menyediakan hidangan.

Dari membeli bahan masakan, memasak, menghidang, hingga mencuci pinggan, kebanyakan tugas ini dipikul oleh ibu atau adik-beradik perempuan dalam keluarga.

Berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari sememangnya boleh menyebabkan keletihan. Malah, ada yang memilih untuk tidur sepanjang hari kerana rasa lesu.

Namun, jangan jadikan keletihan sebagai alasan untuk tidak membantu ibu dan adik-beradik perempuan di dapur. Mereka juga berpuasa dan sama-sama menanggung keletihan.

Di media sosial, terutamanya di Twitter, ramai anak perempuan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap situasi ini.

Tidak adil jika semua mahu menikmati hidangan yang enak tetapi hanya kaum perempuan yang bertanggungjawab menyediakannya, bukan?


Ganjaran mewah

Menurut Setiausaha Kehormat Panel Undang-Undang Majlis Dakwah Negara, Dr. Nurul Haq Shahrir, dalam Islam, urusan kerja rumah seperti memasak dan sebagainya bukanlah kewajipan isteri tetapi ia dilakukan atas dasar sukarela dan mengikut budi bicara.

Tidak dinafikan, kaum perempuan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda nilainya.

Jelas Nurul Haq, Rasulullah SAW berkata sebanyak mana ahli keluarga yang makan masakan yang dimasak, kesemua pahala puasa itu akan diberikan kepada kaum perempuan yang menyediakan makanan.

Meskipun ganjaran pahala yang ibu dan isteri akan dapat itu mewah, jangan pula jadikan ia sebagai alasan untuk anda sebagai kaum lelaki tidak tolong memasak.

Dalam keadaan lain, ada ibu-ibu yang memang mengharapkan dan menyuruh anak-anak perempuan sahaja yang masuk dapur.


Stereotaip berzaman

Reniya Naji mencatat pengalamannya di Vice. Penulis dari India itu merenung jauh ke zaman kanak-kanaknya untuk sedar tentang ketidakadilan ini.

“Yang sedihnya, saya hanya perasan kerja berat yang ditanggung ibu selepas saya sendiri perlu buat kerja sama.

“Ketika saya, seorang perempuan, menginjak dewasa, beberapa tanggungjawab dan jangkaan (untuk menyediakan juadah) berbuka mula diturunkan kepada saya. Namun, tidak adik-beradik lelaki saya,” tulisnya.

Reniya mewarisi hanya sebahagian daripada kerja dapur yang telah berpuluh tahun dilakukan ibunya tetapi itu sudah cukup untuk buat hatinya menjerit.

Jeritan hati itu membawa kepada konfrontasi. Reniya bertanya pada ibunya, mengapa adik-beradik lelaki tak perlu buat kerja dapur?

Ini soalan retorik: Reniya sudah tahu jawapannya tapi dia mahu alasan itu keluar dari mulut ibunya sendiri. Selepas beberapa ketika, ia berhasil.

“Itu memang kerja perempuan,” kata ibunya; mengeluh.

Reniya tidak terkejut, malah tidak juga lega. Yang keluar dari mulut ibunya itu ialah manifestasi patriarki terbatin (internalised patriarchy) yang berpuluh, kalau tidak beratus, tahun lamanya.


Putuskan tradisi

Ini adalah beban yang digalas wanita sepanjang Ramadan. Berjam-jam masa dan tenaga dihabiskan untuk memasak, tanpa sesiapa yang menghulurkan bantuan. Malah, sering kali terpaksa berdepan dengan kritikan terhadap masakan yang hanya melemahkan lagi semangat.

Bulan yang sepatutnya membawa kegembiraan dan kebahagiaan, malangnya, hanya memberi keletihan, burnout dan kesihatan mental yang terjejas bagi ramai wanita.

Meskipun wujud mentaliti kaum wanita perlu duduk di dapur, ia tidak bermakna kita perlu mematuhinya dan mewariskannya kepada generasi akan datang.

Sudah tiba masanya untuk kita hentikan perkara yang hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja sementara pihak yang lain terseksa. – RELEVAN



This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-2-2026 02:19 AM GMT+8 , Processed in 1.696989 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list