|
|
Ramai pernah mendengar mengenai aura tetapi tidak ramai yang memahami secara jelas fungsi dan kepentingannya.
Sedangkan dalam kehidupan, aura dilihat sebagai 'esen' daya penarik yang boleh membuat orang sekeliling terkesan.
Bagi wanita, aura sangat signifikan dengan pesona wanita itu sendiri dan memiliki peranan besar.
Menurut perunding terapi aura Roslina Buyong, aura penting seiring dengan peranan wanita dalam masyarakat.
"Aura sangat penting bagi seorang wanita kerana wanita adalah ibu, isteri, anak, kakak, adik, kawan, pekerja, guru dan banyak lagi peranan dalam masyarakat.
"Wanita sangat memberi pengaruh yang besar kepada individu di sekelilingnya dan atas faktor itu wanita perlu cerna atau menonjolkan aura positif dalam dirinya.
"Seperti mana dalam agama kita sendiri yang memandang tinggi darjat wanita.
"Aura boleh menyerlahkan kepimpinan wanita itu dengan cara baik dan menarik orang dipimpin ke arah lebih positif," katanya.
Tambah Roslina yang lebih dikenali sebagai Ummi Rose, wanita perlu menjaga aura supaya dapat menyalurkan gelombang positif kepada individu sekelilingnya.
"Wanita mempunyai aura positif akan memberi 'vibes' positif di persekitarannya. Wanita yang auranya cantik akan menarik orang suka kepadanya.
"Pentingnya wanita itu mengawal emosi supaya lebih stabil. Emosi mempunyai kaitan dengan aura yang dapat memberi ketenangan dan kedamaian pada dirinya sendiri serta orang lain," katanya.
Dia turut menerangkan lebih lanjut mengenai definisi aura dalam membantu memahami lebih jelas kesan aura itu kepada wanita.
"Sebelum tu, elok kita bincang dulu makna aura dan jenis aura. Definisi aura secara umumnya adalah medan tenaga halus yang terbentuk di sekeliling makhluk hidup yang berupa seperti perisai berbentuk bujur telur.
"Medan tenaga inilah juga getaran atau gelombang yang mengelilingi semua makhluk bernyawa termasuk manusia, haiwan dan juga tumbuhan.
"Bagi membantu ramai orang mudah menilai aura, ia sering dikaitkan dengan emosi, kesihatan, minda dan juga spiritualiti seseorang.
"Aura dikatakan metafizik atau 'ghaib' kerana tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia biasa namun kewujudannya boleh dirasai," katanya.
Ummi Rose turut menjelaskan aura mempunyai warna-warna tertentu yang mencerminkan tenaga dalaman seseorang seperti mood, tahap tenaga dalaman atau keseimbangan rohani.
"Dari sudut saintifik, aura dikaitkan dengan medan bioelektrik atau tenaga electromagnetik yang dihasilkan tubuh manusia, boleh diukur melalui teknologi seperti kamera Kirlian.
"Manifestasi aura yang dikelaskan mengikut warna lebih mudah untuk difahami.
"Setiap warna akan memberi tafsiran emosi, tenaga dan ciri-ciri tertentu personaliti seseorang yang pastinya akan memberi impak berbeza.
"Contohnya, aura merah melambangkan keberanian, semangat, tenaga tinggi dan agresif.
"Aura jingga melambangkan kreativiti, keyakinan, semangat, optimis dan penuh motivasi.
"Sementara aura kuning memberi makna keceriaan, kecerdasan, kreatif, pemikiran logik dan keyakinan diri," katanya.
Justeru dengan memahami jenis aura dimiliki, wanita berasa lebih yakin dan menyesuaikan aura mereka dengan kelebihan atau kecenderungan personaliti," katanya.
Untuk aura terus menyerlah mereka perlu menghindari perkara yang boleh menjejaskan aura.
"Saya yakin, dalam moden ini pendedahan kepada media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok pasti saja membantu ramai wanita menyedari dan mengenali aura diri mereka.
"Dalam TikTok ada ramai pempengaruh berkongsi mengenai aura terutama mereka yang menjual produk berkaitan aura.
"Tentu sahaja mereka jelas dengan perkara yang dapat menjejaskan aura.
"Aura suram atau lemah berpunca daripada emosi, minda, fizikal dan spiritual yang tidak stabil," katanya.
Antara punca aura menjadi suram yang biasa berlaku:
1. Tekanan atau stres berlebihan
Kini, ramai wanita yang terdedah kepada penyakit stres sama ada stres kerja, masalah keluarga, tekanan ekonomi, hubungan dan lain-lain.
Tekanan ini akan melemahkan tenaga dalaman atau aura diri. Emosi negatif, kebimbangan dan ketakutan juga akan melemahkan aura kita.
2. Letih fizikal dan kurang rehat
Kurang tidur dan keletihan kronik akan menyumbang kepada aura yang suram. Pemakanan yang tidak sihat dan kurang air juga melemahkan aura
3. Emosi negatif dan trauma
Kumpulan emosi negatif seperti marah, dendam, sedih, kecewa yang berpanjangan serta pengalaman pahit juga akan mempengaruhi aura seseorang.
Jika ditangani awal, aura mereka menjadi semakin suram sehinggalah kepada pembinaan aura yang negatif pula.
4. Pengaruh persekitaran negatif
Berada dalam persekitaran yang salah atau dikelilingi individu bersifat toksik akan melemahkan aura diri kita. Oleh itu penting memilih 'circle' yang positif.
5. Spiritualiti yang lemah
Amalan kerohanian yang kurang akan melemahkan aura. Apabila kurang berdoa, tidak menjaga ibadah dan kurang refleksi diri akan menghalang kepada keharmonian tenaga dalaman.
6. Gangguan energi atau entiti
Satu isu terpencil dibincangkan dalam kepercayaan metafizik, aura yang lemah boleh menjadi sasaran gangguan tenaga negatif atau entiti yang menyerap tenaga seseorang.
Perkara berkaitan sihir, makhluk halus atau pemikiran negatif akan melemahkan medan tenaga seseorang.
7. Ketidakseimbangan dalam tubuh
Sistem imun yang rendah dan penyakit fizikal akan menyebabkan tenaga aura turut merosot.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|