|
Aktres popular, Siti Saleha, 35, meluahkan rasa syukur dengan penghargaan diterima menerusi Brand Personality Award 2025 anjuran BrandLaureate yang berlangsung di Swissotel, The Stamford, Singapura, semalam.
Pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu berkata, penghargaan diterima adalah lambang kerja keras ditampilkan sepanjang bergelar anak seni.
"Dengan rendah diri saya amat bersyukur menerima pengiktirafan berprestij daripada BrandLaureate atas sumbangan saya sebagai pelakon Malaysia.
"Anugerah ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi peringatan mengenai semangat, kerja keras dan sokongan daripada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan saya," katanya kepada BH Online.
Atas penghargaan itu, Siti Saleha mahu terus meningkatkan usaha dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
"Terima kasih kerana menghargai usaha saya, anugerah ini sangat bermakna buat saya.
"Saya berharap dapat terus melangkaui batas, mewakili Malaysia ke tahap lebih tinggi dan terus memberi inspirasi melalui karya," katanya.
Tahun lalu, Siti Saleha meraih trofi Bintang Asia Terbaik, Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 menerusi lakonan hebatnya dalam drama SeOfis.
Sebelum ini, Siti Saleha membawa pulang tiga trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada edisi 27, 33 dan 34.
Sumber : Berita Harian
|
|