![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250203/kks-ub030225-ysh-tinjaumesra1.jpeg)
KEJAYAAN: Para kepimpinan Parti Impian Sabah merakamkan gambar kenangan selepas program Tinjau Mesra Tahun Baharu Cina 2025.
SANDAKAN: Aktiviti tinjau mesra sempena Tahun Baharu Cina dilihat platform terbaik untuk mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat.
Presiden Parti Impian Sabah, Michel Alok berkata, acara berkenaan dan Program Menyantuni Kawasan Rakyat (MEKAR) adalah aktiviti yang perlu diteruskan.
"Program-program seumpamanya dilihat sebagai platform terbaik untuk pemimpin beramah mesra dengan masyarakat Tionghua semasa musim perayaan.
"Program tinjau mesra ini turut melibatkan beberapa kawasan tumpuan masyarakat Sandakan, kita bermula di Pasar Umum Sandakan, seterusnya di Pasar Kim Fung Batu 4 dan berakhir di Pasar Elopura Batu 1 1/2," katanya pada program Tinjau Mesra Tahun Baharu Cina 2025, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, perayaan pelbagai kaum perlu disambut dengan semangat keharmonian dimana setiap budaya dihargai dan hubungan antara masyarakat terus diperkukuh.
“Matlamat utama program ini adalah untuk kita meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama di daerah ini.
“Melalui program seperti ini, kita dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kaum agar terus harmoni dan bertambah erat.
“Program ini juga sebagai simbol penghargaan kepada masyarakat atas sumbangan mereka dari segi ekonomi dan sosial di kawasan ini,” katanya.
Pada program itu, Michel menyampaikan sumbangan dan limau mandarin kepada para peniaga dan pengunjung.
Hadir Pengerusi Parti Impian Sabah Bahagian Elopura, Jeffery Chung serta kepimpinan parti berkenaan.
|