Edited by sfhzuraz at 3-2-2025 11:56 AM
DAP sedia cari dana beri kursus nama orang Cina kepada Pas
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
03 Februari 2025 10:45am
![](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/03/2991862.jpg)
Boon Chee berharap salah faham dan mitos berkaitan budaya nama keluarga masyarakat Cina dapat diselesaikan.
GEORGE TOWN - DAP Pulau Pinang bersedia untuk mendapatkan dana dan bantuan daripada tokoh budaya bagi memberikan kursus kepada pemimpin serta ahli Pas mengenai nama keluarga masyarakat Cina.
Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Phee Boon Chee berkata, dengan usaha itu, parti itu berharap salah faham serta mitos berkaitan budaya nama keluarga masyarakat Cina dapat diselesaikan.
"DAP Pulau Pinang bersedia untuk mendapatkan dana dan bantuan daripada tokoh budaya bagi menyediakan kursus tersebut kerana sering kali mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat mengenai masyarakat bukan Melayu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Pas membidas ulasan dan cadangan seorang profesor seni bina agar parti itu mengadakan kursus kepada ahli-ahlinya berkenaan nama orang Cina.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ahli akademik itu menyatakan seolah-olah Pas jahil mengenai adat dan budaya kaum selain Melayu di negara ini.
Mengulas lanju mengenainya, Boon Chee berkata, penolakan Pas terhadap saranan itu adalah tidak wajar kerana parti itu sering mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan kaum lain.
"Jika Pas benar-benar memahami adat dan budaya masyarakat bukan Melayu, parti itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan kaum lain, khususnya masyarakat Cina.
“Lihat sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Pas Perak, Razman Zakaria mengenai latar belakang dan nama keluarga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
"Sebelum itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad juga mengaitkan pemimpin DAP dengan bekas Perdana Menteri Singapura berdasarkan hubungan ‘sepupu’ yang tidak berasas," katanya.
Beliau juga menyifatkan Pas semakin jauh daripada konsep politik matang dan sejahtera, sebaliknya bergantung kepada pembohongan serta kecaman untuk mengekalkan pengaruh politiknya.
Terdahulu, ahli akademik, Tajuddin Mohd Rasdi berharap pihak tertentu mungkin boleh menjalankan kursus kepada pengikutnya tentang sejarah dan makna nama dalam masyarakat Cina.
Katanya, ia supaya tiada ahli mereka tersalah anggap nama keluarga pemimpin komunis dengan ahli politik yang bekerja keras di negara atau nama menteri dengan hartawan perniagaan.
https://www.sinarharian.com.my/article/710513/berita/politik/dap-sedia-cari-dana-beri-kursus-nama-orang-cina-kepada-pas
|