Tiga kereta ‘ditelan’ sebuah lubang benam di bandar South Shield semalam. - Lucy Mouter
LONDON – Tiga buah kereta ‘ditelan’ ke dalam sebuah lubang benam yang terbentuk di sebatang jalan di England, lapor akhbar Metro UK semalam. Kejadian berlaku di Broughton Road, bandar South Shields.
Menurut polis Northumbria, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sekitar pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) sejurus selepas menerima laporan jalan runtuh.
“Tiada kecederaan dilaporkan, tetapi beberapa keluarga yang tinggal berhampiran lubang benam itu dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kawasan itu ditutup sementara dan pasukan kecemasan turut hadir untuk membantu,” kata polis.
Syarikat pengendali air, Northumbrian Water berkata, runtuhan tersebut merosakkan saluran paip air menyebabkan pelanggan di pusat jagaan berdekatan terputus bekalan air.
“Pihak berkuasa sedang mengenal pasti punca lubang benam itu,” tambah polis. – AGENSI
|