![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250128/kch-ub290125-pg-joberalih-p1.jpg)
Abang Johari bersama rombongan disambut orang ramai yang hadir pada Majlis Penutupan Program Digital Desa Bank Rakyat 2025 di Gedong. - Gambar UKAS
KUCHING: Sarawak kini giat mendidik petaninya untuk beralih kepada kaedah baharu dalam penanaman padi yang menggunakan mesin dan teknologi moden.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu turut melibatkan kerjasama pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk menyakinkan petani menggunakan kaedah moden tersebut.
“Orang kampung kalau mereka melihat sendiri baru mereka percaya, sebab itu saya (kerajaan) beli mesin dan beri kepada persatuan peladang yang kemudian akan menyewakannya kepada petani.
“Setiap keluarga petani biasanya memiliki dua hektar tanah untuk penanaman padi dan mesin ini hanya mengambil masa sejam untuk menyelesaikan kerja.
“Dengan pendekatan ini, kerajaan sasarkan lebih 240,000 tan metrik padi dihasilkan termasuk oleh petani kecil-kecilan,” katanya. Beliau berkata pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Digital Desa di Gedong, hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubark serta kenamaan lain.
Abang Johari (tengah) menyaksikan Ewon menyerahkan cek cura berjumlah RM115,000 di bawah inisiatif iTekad RAKYAT preneurB40 kepada salah seorang penerima pada Majlis Penutupan Program Digital Desa Bank Rakyat 2025 di Gedong. - Gambar UKAS
Abang Johari berkata Sarawak menyasarkan pengeluaran padi sebanyak 240,000 tan metrik untuk memastikan keterjaminan bekalan beras negeri, menjelang 2030.
Pada sidang media sama, beliau berkata Sarawak akan terus memfokus kepada sektor keterjaminan makanan khususnya penanaman padi dengan membangunkan pelbagai infrastruktur asas di luar bandar.
Menurutnya 70 peratus daripada RM15.6 bilion disediakan di bawah Belanjawan Sarawak 2025 diperuntukan untuk kawasan luar bandar yang memfokuskan kepada sektor keterjaminan makanan dan pelancongan.
"Bagi sektor makanan ataupun keterjaminan makanan kita telah memberikan infrastruktur bermula daripada jalan raya dan juga perhubungan termasuk bekalan elektrik dan juga bekalan air serta kesalinghubungan digital untuk di kawasan luar bandar.
"Ini akan meningkatkan lagi sektor bukan sahaja pertanian tetapi hasil makanan yang terus kita proses," katanya.
Abang Johari berkata sektor pelancongan turut diberi tumpuan di kawasan luar bandar bagi merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat.
Jelasnya, menerusi pembangunan jalan raya sama ada melalui Lebuh Raya Pan Borneo ataupun jalan persisir, pelancong dapat mengunjungi destinasi pelancongan menarik seperti Gua Mulu dan Gua Niah termasuk kawasan Padawan.
"Lebih-lebih lagi kita akan mempunyai syarikat penerbangan kita sendiri dengan pengambilalihan MASwings dan ini sudah tentu memberi khidmat kepada masyarakat luar bandar.
"Contohnya, di Spaoh di mana kita akan membina lapangan terbang kita sendiri (STOLport Bebuling) yang akan mengubah Betong…Dengan adanya tempat-tempat sebegini yang dapat diakseskan, mungkin para pelancong luar negara dapat melihat keistimewaan di luar bandar," tambahnya.
|