Edited by sfhzuraz at 29-1-2025 02:58 AM
CAP kecewa dengan Menteri, anggap kenyataan tidak relevan
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
28 Januari 2025 11:33am
Kebebasan menjual arak di semua tempat boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial, termasuk remaja bawah umur yang mungkin terdedah kepada tabiat meminum arak tanpa kawalan - Gambar hiasan
GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan kenyataan yang dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang dianggap tidak relevan berhubung isu penjualan minuman keras di negara ini.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadeer berkata, kenyataan menteri tersebut yang menyarankan supaya mereka yang tidak boleh minum arak untuk tidak membelinya adalah tidak masuk akal.
“Malaysia bukan negara Barat. Kita mempunyai pelbagai kaum dan adat yang perlu dihormati. Budaya minum arak tidak boleh diterima oleh sesetengah kaum dan agama.
"Selain itu, dengan kenyataan beliau itu, adakah ia bermakna peniaga boleh menjual apa sahaja barangan tanpa sekatan, termasuk yang boleh mendatangkan ancaman kepada individu dan masyarakat?” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Ahad, Kor Ming dilaporkan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Kata Kor Ming lagi, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.
Dalam pada itu, Mohideen berkata, kebebasan menjual arak di semua tempat boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial, termasuk remaja bawah umur yang mungkin terdedah kepada tabiat meminum arak tanpa kawalan.
“Negara-negara barat sendiri sudah mengambil tindakan untuk mengehadkan jualan arak secara terbuka. Mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama di Malaysia, sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam?"soalnya.
Mengulas lanjut, Mohideen memuji tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak di bandar itu.
“Tindakan ini sangat dihargai. Menteri tidak seharusnya campur tangan dalam hal-hal negeri berkaitan isu ini.
"Bagaimanapun, kita mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam isu ini bagi memastikan kawalan ketat terhadap penjualan minuman keras di negara dapat dilaksanakan.
“Langkah ini penting bagi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta mencegah masalah sosial yang lebih besar di masa hadapan,” katanya.
Tambah Mohideen, pihaknya berharap tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan budaya dan adat semua kaum di negara ini dihormati.
https://www.sinarharian.com.my/article/709671/edisi/utara/cap-kecewa-dengan-menteri-anggap-kenyataan-tidak-relevan
|