CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2328|Reply: 0

[Pulau Pinang] Kepengerusian ASEAN: Pulau Pinang jadi tuan rumah 13 mesyuarat utama

[Copy link]
Post time 29-1-2025 01:06 AM | Show all posts |Read mode
Kepengerusian ASEAN: Pulau Pinang jadi tuan rumah 13 mesyuarat utama

Oleh Bernama - Januari 28, 2025 @ 3:36pm




13 mesyuarat di Pulau Pinang sepanjang 2025 akan membabitkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan dan menteri yang akan dianjurkan oleh tujuh kementerian. - Foto BERNAMA




GEORGETOWN: Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan, dan menteri yang akan dijalankan oleh tujuh kementerian.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang, Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata mesyuarat-mesyuarat itu meliputi pelbagai bidang kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN, merangkumi aspek keselamatan, ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, dan pembangunan belia.

"Tujuh kementerian yang terlibat ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Pengajian Tinggi," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di sini baru-baru ini.

Abdul Kahar berkata kerajaan negeri memainkan peranan sebagai penyelaras dengan membantu kementerian berkenaan terutama dalam aspek logistik, penyediaan lokasi, lawatan budaya, dan memastikan persekitaran negeri berada dalam keadaan terbaik.

"Kerjasama erat dengan pelbagai pihak telah dirangka untuk memastikan setiap acara berjalan lancar sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada delegasi yang hadir," katanya.

Antara mesyuarat yang telah berlangsung ialah Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) ke-102 dan Mesyuarat Majlis Bersama ke-25 pada 15 hingga 17 Jan lepas sementara Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) pula dijadualkan berlangsung pada Jun.

Mesyuarat ini akan diadakan di kawasan pulau, namun ada beberapa aktiviti melibatkan lokasi di Seberang Perai termasuk ketibaan dan pelepasan delegasi di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta lawatan ke tempat menarik, seperti Kampung Agong di Penaga.

"Persiapan untuk Kepengerusian ASEAN (Malaysia) 2025 sedang berjalan lancar. Sesi perbincangan dengan tujuh kementerian yang terlibat telah diadakan, sementara usaha pengindahan bandar giat dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)," katanya.

Abdul Kahar berkata laluan utama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke hotel penginapan delegasi turut diberi perhatian khusus bagi memastikan pemandangan lebih indah dan kemas.

"Poster-poster ASEAN turut dipamerkan di papan iklan elektronik di sekitar Pulau Pinang termasuk di Seberang Perai sebagai usaha mempromosikan negeri ini sebagai destinasi antarabangsa," katanya.

Abdul Kahar berkata pelbagai perancangan telah dirangka untuk menyambut delegasi termasuk lawatan rasmi ke lokasi ikonik, pameran budaya dan seni tempatan, serta sesi makan malam rasmi yang bertujuan memperkenalkan warisan dan kepelbagaian budaya Pulau Mutiara.

Dari segi penginapan, katanya kementerian yang terlibat bertanggungjawab memastikan standard antarabangsa dipenuhi, dengan cadangan hotel diberikan oleh kerajaan negeri.

"Hotel-hotel pilihan menyediakan kemudahan terbaik untuk menjamin keselesaan delegasi sepanjang berada di Pulau Pinang," katanya.

Sebagai tambahan, Abdul Kahar berkata kerajaan negeri turut mencadangkan produk kraf tangan tempatan, seperti Batik Pulau Pinang dan ukiran kayu sebagai cenderamata rasmi kepada delegasi.

Beliau berkata sejumlah peruntukan telah disediakan oleh kerajaan negeri untuk menyokong penganjuran acara termasuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi Persekutuan bagi memastikan persiapan memenuhi piawaian antarabangsa.

Malaysia mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", melambangkan aspirasi untuk membimbing blok serantau berusia 58 tahun ini ke arah masa depan yang lebih bersatu, dinamik, dan mampan.
- BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1354762/kepengerusian-asean-pulau-pinang-jadi-tuan-rumah-13-mesyuarat-utama





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 12:09 AM GMT+8 , Processed in 0.188403 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list