KUCHING: Nama untuk entiti tunggal yang melibatkan Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan Laku Management Sdn Bhd bakal diumumkan pada suku kedua tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata demikian sambil menambah, perinciannya akan diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kelak.
“Kita menjangka bahawa satu entiti dengan nama baharu akan mula beroperasi pada awal suku kedua… kalau boleh kita lancarkan awal suku kedua ataupun penghujung suku pertama tahun ini.
“Tengoklah apa yang dapat kita selesaikan. Tetapi jika sudah ada kami kongsikan dengan anda nanti,” katanya ketika ditanya pemberita untuk mengulas lanjut tentang entiti tunggal berkenaan hari ini.
Julaihi Ketika ditemui pemberita hari ini.
Julaihi berkata demikian pada Ucapan Amanat Sempena Majlis Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di sini hari ini.
Pihaknya telah mempunyai rangka kerja undang-undang termasuk beberapa perkara yang perlu diperhalusi, tambahnya.
Beliau tidak menolak dakwaan menerima aduan daripada beberapa individu.
Bagaimanapun, percaya perincian mengenainya belum didedahkan dan mungkin ia belum difahami.
Julaihi malah menegaskan matlamat sebenar penggabungan berkenaan adalah untuk menjaga kebajikan kakitangan sedia ada.
“Lembaga pengurusan sudah ada dan pihak kami sedang cuba mempersiapkan semua kerja di lapangan sebelum ia diumumkan nanti,” tegasnya.
Penubuhan ‘Single Water Entity’ telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun lepas.
Pihaknya pada masa ini sedang memperhalusi penyediaan model dari segi struktur pengoperasian, sumber manusia, skim gaji dan seumpamanya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Dato Jafri Lias.
|