Seorang lelaki cedera setelah lori dipandunya terbabas dan terbalik di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Rumah Robert, Suai petang semalam.
MIRI: Seorang lelaki cedera setelah lori yang dipandunya terbabas lalu terbalik di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Rumah Robert, Suai petang semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah Rary Binjie, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 1.59 petang.
Berikutan itu katanya, sepasukan lima anggota telah bergerak ke lokasi yang terletak pada jarak 47 kilometer dari balai.
"Setibanya di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati benar berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbabas dan terbalik di sebelah jalan menghala dari Miri ke Bintulu.
"PKO menerima maklumat daripada pihak polis bahawa terdapat seorang mangsa berusia 49 tahun telah dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Suai sebelum bomba sampai," katanya.
Sehubungan itu kata Rary, pihaknya hanya melakukan kerja-kerja pembersihan serpihan kemalangan di jalan raya dan memotong kabel bateri untuk memastikan tiada kemungkinan bahaya lain.
|