Jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden kanan tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung PBB bulan depan
Abang Johari (kanan) membincangkan sesuatu dengan Nanta pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di Kuching malam tadi. - Gambar Pejabat Premier Sarawak
KUCHING: Jawatan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang kini disandang Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung PBB yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 14 Februari depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), berkata kedua-dua jawatan timbalan presiden dan dua jawatan naib presiden kanan juga tidak akan dipertandingkan.
Menurut Nanta yang juga Menteri Kerja Raya Malaysia, Majlis Kerja Tertinggi PBB telah menerima usul daripada kesemua 82 cawangannya supaya jawatan presiden dan empat pemimpin utama parti itu tidak dipertandingkan semasa perhimpunan yang bakal disertai 3,213 delegasi serta pemerhati.
Manakala untuk tujuh jawatan naib presiden iaitu empat bagi sayap Bumiputera, tiga lagi sayap Pesaka serta 30 ahli majlis kerja tertinggi parti dibuka untuk dipertandingan dan borang penamaan calon akan mula diedarkan dalam tempoh beberapa hari ini.
"Kita akan mengeluarkan borang pencalonan (bagi jawatan naib presiden dan ke bawah) dalam tempoh bebeberapa hari ini.
“Pencalonan akan ditutup seminggu sebelum perhimpunan agung berlangsung," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di sini, malam tadi.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku presiden parti.
Perhimpunan kali ini juga katanya, buat julung kalinya akan dihadiri sayap belia untuk ahli berumur 18 hingga 28 tahun.
"Perhimpunan Agung ini akan dirasmikan oleh Abang Johari selaku presiden parti dan Premier Sarawak," tambahnya.
Untuk rekod dua jawatan timbalan presiden PBB disandang oleh Timbalan-Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Manakala dua jawatan naib presiden kanan PBB pula masing-masing disandang Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yang merupakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.
|