Tempoh siap LRA Sungai Limau belum dapat ditentukan
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Januari 27, 2025 @ 3:29pm [email protected]
Tempoh jangkaan projek LRA Sungai Limau, Baling siap hanya akan diperoleh selepas tender semula dan pelantikan kontraktor baharu dibuat. - Foto BERNAMA.
ALOR SETAR: Tempoh siap Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau, Baling, belum dapat ditentukan selepas kerajaan negeri mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan kontraktor yang gagal mematuhi lanjutan masa (EOT) terakhir yang tamat bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, berkata proses menamatkan perkhidmatan kontraktor turut mengambil masa kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tertentu.
"Proses penamatan kontraktor ambil masa kerana perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Selepas ditamatkan secara rasmi beberapa proses perlu dilalui seperti kajian kos terkini, kelulusan bajet, penyediaan dokumen tender, iklan tender semula, penilaian tender, pelantikan kontraktor baharu dan lain-lain aspek teknikal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohamad Yusoff berkata, tempoh jangkaan projek itu siap hanya akan diperoleh selepas tender semula dan pelantikan kontraktor baharu dibuat.
Katanya, sementara menunggu semua proses berkenaan, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) akan melakukan tindakan jangka pendek dan sederhana bagi membantu penduduk yang terjejas.
Sebelum ini media melaporkan, keputusan kerajaan negeri menamatkan kerja kontraktor LRA Sungai Limau sudah dimaklumkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu diambil selepas kontraktor gagal memenuhi EOT terakhir yang tamat pada bulan ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan menyatakan kebimbangan terhadap kemajuan projek LRA Sungai Limau selepas kerja pembinaan di tapak itu terhenti sejak Julai lalu.
Katanya, projek yang bermula pada 2021 itu merangkumi 15 komponen tetapi sehingga kini, tiada satu pun komponen yang disiapkan, malah ada yang belum bermula.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1354325/tempoh-siap-lra-sungai-limau-belum-dapat-ditentukan
|