TEHERAN - Badan Kehakiman Iran menafikan laporan palsu dan memaklumkan belum ada 'hukuman muktamad' terhadap penyanyi kontroversi, Amir Hossein Maghsoudloo atau Tataloo beberapa hari selepas beberapa rangkaian media melaporkan dia dihukum mati.
Pada Ahad lalu, akhbar reformis, Etemad mendakwa Mahkamah Agung menerima bantahan pihak pendakwa terhadap hukuman penjara lima tahun ke atas Tataloo berhubung dakwaan menghina Islam.
"Kes itu dibuka semula dan pada kali ini dia dihukum mati kerana mempersendakan Nabi Muhammad," jelas laporan itu lagi sambil menambah rayuan boleh dikemukakan terhadap keputusan tersebut.
Bagi memperbetulkan fakta, jurucakap kehakiman, Asghar Jahangir pada Rabu bertindak mengadakan sidang media tentang kes Tataloo.
"Masih belum ada keputusan muktamad tentang hukuman ke atasnya," lapor The New Arab memetik kenyataannya.
Penyanyi berusia 37 tahun itu tampil sebagai pemuzik 'underground' yang menggabungkan genre rap, pop dan R&B.
Dia menetap di Istanbul sejak 2018 sebelum pihak berkuasa menyerahkannya kepada Teheran pada Disember 2023.
Perbicaraan Tataloo bermula pada Mac 2024 dan dihukum penjara 10 tahun atas tuduhan mempromosikan pelacuran, menyebarkan propaganda terhadap Iran dan kandungan lucah lain.
Difahamkan, Tataloo bukanlah penyanyi pertama yang melanggar undang-undang konservatif Teheran.
Pada bulan lalu, penyanyi rap, Toomaj Salehi, 34, dibebaskan dari penjara setelah diberkas pada Oktober 2022 kerana membantah kematian gadis Kurdish, Mahsa Amini ketika berada di bawah tahanan pihak berkuasa. - Agensi
|