Jakarta: Tindakan sebuah sekolah menengah di daerah Cianjur, Jawa Barat, Indonesia yang mewajibkan pelajar perempuan melakukan ujian kehamilan adalah sebahagian usaha menangani masalah pergaulan bebas dalam kalangan remaja.
Ketua Daerah Cianjur, Herman Suherman berkata, berdasarkan penilaian, langkah itu dilaksana dengan objektif jelas dan sasaran mengurangkan kes pergaulan bebas dan masalah sosial remaja.
"Langkah ini diambil oleh pihak sekolah, tentunya dengan alasan yang jelas dan pelajar tidak perlu takut menjalani ujian kehamilan jika mereka tidak pernah terbabit dalam pergaulan bebas," katanya yang dilapor Kompas, semalam.
Tambah Herman, walaupun ujian kehamilan itu penting, pihak sekolah juga harus lebih menekankan kepada pembentukan karakter pelajar dan menambah pendidikan agama serta aktiviti kerohanian yang lebih tersusun untuk pelajar.
Beliau berharap dengan pendidikan intensif dan aktiviti kerohanian yang lebih kerap, pelajar mempunyai pemahaman jelas mengenai kesan negatif daripada pergaulan bebas.
"Setidak-tidaknya ada aktiviti kerohanian rutin di mana pihak sekolah memberikan pendidikan berkaitan implikasi pergaulan bebas, isu remaja termasuk pergaduhan dan penggunaan dadah, arak serta bahan yang boleh merosakkan masa depan," katanya.
Sebelum ini, tindakan sekolah mewajibkan pelajar melaksana ujian kehamilan hangat diperkata selepas ia dimuat naik ke media sosial dan tular.
Dalam video itu, pelajar dilihat berbaris untuk menjalani ujian air kencing di tandas sekolah secara tertutup dengan pengawasan guru wanita. Keputusan ujian kehamilan bagaimanapun tidak diumumkan.
Disiarkan pada: Januari 25, 2025
|