Baling: "Ramai yang salah faham,
suami bukan macam tu (buli) malah dia tidak rapat sangat dengan suspek, cuma kalau jumpa dulu pun, dia tegur macam tu saja," kata Nurul Wahida Mat Saad, 34.
Menurut Nurul Wahida, walaupun masih bersedih kerana kehilangan rumah pusaka di Kampung Bukit Terabak, di sini, yang didiami mereka musnah dalam kebakaran pada 24 Disember lalu, namun dia berharap orang ramai tidak menganggap suaminya terbabit membuli suspek.
"Saya kenal suami macam mana, sebelum kami kahwin lagi, dia bukan jenis nak buli orang, lepak keluar malam-malam malah orang kampung pun kenal dia, boleh tanya mereka.
"Suami saya dan lelaki itu (suspek) memang pernah bekerja di kilang getah yang sama di Kuala Pegang kira-kira empat tahun lalu tetapi di bahagian yang berlainan.
"Tetapi dakwaan mengatakan suami saya terbabit dalam kejadian itu (buli), memang tak betullah," katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kupang runsing selepas berlaku kebakaran secara berturut-turut sejak 24 Disember hingga 12 Januari lalu disyaki mempunyai unsur khianat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dilaporkan berkata, seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga penduduk kampung berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan itu yang bermotifkan dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini.
Difahamkan, modus operandi suspek adalah mencurahkan petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum ia merebak ke rumah penduduk.
Kebakaran sembilan rumah itu dipercayai berlaku antara jam 2 pagi hingga 5 pagi menyebabkan dua kenderaan dan 18 motosikal dan kerugian RM770,000.