VAN milik pelarian Syria yang membawa dapur gas memasak, tilam dan perabot bagi memulakan hidup baharu di tanah air.
Damsyik: Peti sejuk besar dan ketuhar diikat pada bumbung kereta atau van. Malah tilam dan beg pakaian turut susun bertingkat atau disumbat di dalam kenderaan.
Gelombang kepulangan pelarian Syria ini jelas terbukti apabila mereka berbondong-bondong berbaris panjang untuk melepasi kawalan dan pemeriksaan ketat dilakukan pegawai imigresen di sempadan Jaber di utara Jordan.
Penulis yang berada di pintu sempadan melihat sendiri berpuluh kenderaan antaranya lori, van dan kereta sedan berbaris lebih 200 meter sementara menunggu kelulusan melepasi pintu sempadan Jordan untuk pulang ke Syria.
Rata-rata kenderaan turut mengangkut sebanyak mungkin pelbagai perkakas rumah termasuk periuk belanga, basikal, sofa dan almari pakaian. Biarpun melebihi berat muatan, namun ia dianggap harta bernilai bagi bekalan memulakan kehidupan baharu pasca kejatuhan Bashar Al-Assad.
Kebanyakannya yang sudah berkeluarga dilihat menggendong anak kecil. Mereka tidak lokek menghadiahkan senyuman kepada penulis dengan ada antaranya melambai-lambai tangan.
PELBAGAI kenderaan pelarian Syria berbaris panjang di pintu sempadan Jaber di utara Jordan untuk pulang ke tanah air. Seorang pelarian Syria, Ammar Abd Rabbo, 49, berkata, dia, isteri dan tiga anak tidak sabar untuk kembali ke kampung halamannya di Kafr Buhum berhampiran bandar Hama, Syria selepas ditinggalkannya sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, dia yang bimbang keselamatan keluarganya terpaksa melarikan diri ke kem pelarian Zaatari di utara Jordan berhampiran bandar Mafraq yang menempatkan lebih 40,000 pelarian Syria.
Jelasnya, di bawah pemerintahan Bashar al-Assad, rakyat Syria hidup dalam ketakutan susulan operasi menangkap dan membunuh sesiapa sahaja yang disyaki mahu menentang kerajaan.
"Setiap hari saya rindukan tanah air tercinta. Sejak mengetahui pemerintahan Bashar al-Assad ditumbang tentera Hayat Tahrir al-Sham (HTS) pada 8 Disember lalu. Saya dan pelarian lain merasakan ini waktu terbaik untuk pulang.
"Kami tidak perlu lagi bimbang ditangkap polis rahsia atau dipenjarakan tanpa sebab oleh kerajaan Bashar Al-Assad. Harapan kami adalah untuk membina kehidupan baharu," katanya dengan nada ceria sambil menguatkan ikatan barangan perkakas rumah dibawa menggunakan van.
Difahamkan lebih 115,000 rakyat Syria yang menjadi pelarian sudah pulang dari negara jiran seperti Turki, Jordan dan Lubnan sejak 8 Disember lalu.
Gelombang kepulangan ini mencerminkan harapan rakyat Syria terhadap masa depan yang lebih stabil dan aman selepas lebih sedekad berhadapan konflik penindasan.
Difahamkan kerajaan baharu Syria, yang kini diterajui HTS mengumumkan inisiatif untuk menyokong kepulangan pelarian termasuk penyediaan kemudahan asas, program pekerjaan, dan sokongan psikososial untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Disiarkan pada: Januari 23, 2025
|