Abang Johari menunjukkan video penggunaan jentera penanaman padi moden ketika berucap merasmikan Jambatan Marudi, pagi tadi. - Gambar UKAS
MIRI: Kerajaan negeri akan menyediakan jentera tanam dan tuai padi berserta pemandu menerusi Pertubuhan Peladang untuk disewakan kepada pekebun-pekebun kecil yang mahu mengusahakan tanaman itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu akan dimaklumkan dengan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
"Saya akan beritahu dengan Rundi, kerajaan akan beli mesin untuk Pertubuhan Peladang.
"Tanah pekebun-pekebun kecil tidak besar.
"Pertubuhan Peladang boleh sewakan kepada mereka, " jelasnya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Marudi di kawasan lapang tapak Industri Marudi, pagi tadi.
Abang Johari berkata, khidmat sewa mesin tanam padi itu juga akan ditawarkan kepada pekebun-pekebun kecil di Marudi.
"Selain menggalakkan mereka terlibat dengan pertanian moden, ia juga usaha untuk meningkatkan pengeluaran beras dan memenuhi keperluan rakyat.
"Kita perlu ada petani moden yang ada kemahiran dan kepakaran," jelas beliau.
Pekebun kecil dan petani diminta untuk menggunakan cara baharu dalam industri pertanian untuk membolehkan mereka mengeluarkan hasil yang baik dan menguntungkan, ujarnya lanjut.
Abang Johari turut menggalakkan penduduk di kawasan Baram yang memiliki tanah untuk mengusahakan sawah padi.
"Kalau di sini (Baram) memiliki tanah yang baik untuk penanaman padi, tidak salah untuk kita mengusahakannya.
"Satu hari nanti boleh kita eksport padi kita, " jelas beliau.
|