(Dari kiri) Ling, Wong dan Huang melakukan tinjauan kerja ke dua tapak projek pemasangan lampu jalan di Parlimen Sarikei.
SARIKEI: Sebanyak 308 unit lampu jalan sedang dipasang di dua lokasi di Parlimen Sarikei iaitu di Jalan Kwong Ming/Minah dan Jalan Meruton/Merudu, dekat sini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, kerja-kerja pemasangan lampu di dua lokasi tersebut sedang giat dijalankan.
"Di Jalan Kwong Ming/Minah sebanyak 140 unit lampu akan dipasang dengan menggunakan peruntukan berjumlah RM1,274,000. "Bagi Jalan Meruton/Merudu pula, sebanyak 168 unit lampu jalan akan dipasang dengan kos sebanyak RM1,525,100.
"Kedua-dua projek tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dan ia dijadualkan akan siap dalam tempoh terdekat ini," kata Huang kepada media, pada Khamis.
Menurut Huang, kerja-kerja pemasangan lampu tersebut telah mula dilakukan oleh pihak kontraktor pada bulan Disember tahun lepas.
Katanya, usaha tersebut adalah merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan dalam membawa pembangunan setempat dan melaksanakan permintaan rakyat di peringkat akar umbi.
"Apabila siap kelak, projek pembangunan ini akan membawa manfaat yang besar kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam yang melibatkan aspek keselamatan dan keselesaan para penggunaan jalan raya di lokasi berkenaan.
"Melalui kesempatan ini, kita ingin mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak di atas usaha berterusan dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dengan meluluskan peruntukan untuk pembangunan di seluruh pelusuk negeri ini," ujar Huang lagi.
Terdahulu, Huang yang diwakili Kapitan Ling Dien Yong bersama dengan Penghulu Huang Tiong Kang dan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS) Kaunselor Wong Zee Yeng telah melakukan tinjauan kerja ke dua tapak projek tersebut bagi memastikan perkembangan projek pemasangan lampu jalan berkenaan.
Para kontraktor yang terlibat dengan pemasangan lampu jalan di dua lokasi iaitu Jalan Kwong Ming/Minah dan Jalan Meruton/Merudu sedang berusaha menyiapkan projek tersebut.
|