HANNAH Pidgeon memegang hadiah dimenanginya. FOTO Instagram.
London: Perabot bukan satu-satunya kegilaan peminat tegar Ikea di seluruh dunia, sebaliknya bebola dagingnya yang juga makanan ikon pusat jualan perabot terkemuka Sweden itu.
Di Surrey, South East England, seorang wanita bertuah apabila memenangi bebola daging gergasi seberat lima kilogram dalam pertandingan sempena Krismas lalu.
Dengan bebola daging sebesar itu, ia boleh dimakan kira-kira 25 orang dan Hannah Pidgeon, 23, mengakui terkejut apabila dihubungi wakil syarikat memaklumkan dia memenangi hadiah utama terbabit.
"Saya sangat terkejut apabila saya menang. Saya terus berkongsi berita dalam kumpulan sembang keluarga dan mendapati ia sangat lucu (menang hadiah bebola daging).
"Bebola daging itu sangat berat, saya rasa ia seberat 5kg. Saya dan ayah mengambil hadiah kemenangan itu di restoran Ikea.
"Sukar untuk tahan diri daripada menikmati makanan Ikea.. makan lebih banyak bebola daging untuk makan malam," katanya, bekerja sebagai penyelia.
Selain bebola daging, Hannah juga menerima hidangan kentang lenyek, kuah segera dan sebotol jem lingonberry Ikea.
Disiarkan pada: Januari 14, 2025
|